Fenomena El Nino burukkan jerebu di Asia Tenggara

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino dijangka melanda Asia Tenggara bulan depan dan bahang panas yang menjejas sebahagian besar penduduk Asia Tenggara, berpotensi memburukkan lagi jerebu di rantau tersebut.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas terik serta mutu udara menurun kepada paras "tidak sihat”pada 15 April lalu serta memberi kesan kepada negeri di bahagian utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) turut melaporkan titik panas yang merebak di Myanmar dan Laos di samping lokasi titik panas di Thailand, Kampuchea dan Vietnam.
EL NINO PUNCA MUSIM KERING BERLARUTAN
Pensyarah kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata, sepanjang El Nino, angin yang bertiup ke arah barat sepanjang Khatulistiwa menjadi perlahan dan air hangat ditolak ke timur, menyebabkan suhu permukaan lautan menjadi panas.
"Menurut Khidmat Perubahan Iklim Copernicus di Kesatuan Eropah (EU) model iklim menunjukkan kembalinya keadaan El Nino pada musim panas Borea, serta kemungkinan El Nino yang lebih kuat berlaku pada penghujung tahun 2023.
"Setakat ini pada tahun ini, sekitar 23 titik panas dikenal pasti di Sarawak ketika negeri ini bersiap siaga menghadapi cuaca kering yang panjang. Perubahan iklim serta jangkaan kembalinya fenomena cuaca El Nino boleh melonjakkan purata rekod suhu pada tahun 2023 dan 2024, menurut saintis iklim, " beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.
Menurut laporan media sebelum ini, setakat 2015, El Nino melanda Malaysia sebanyak 12 kali, dengan yang pertama antara tahun 1951 dan 1952, dan kejadian terburuk pada tahun 1997 hingga 1998, dengan suhu terpanas 40.1 darjah Celcius dicatatkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis, pada 9 April 1998.
Prof Madya Mohd Shahrul berkata, El Nino dikaitkan dengan pengurangan hujan di bahagian tertentu Asia Tenggara dan cuaca kering mudah menggalakkan kebakaran hutan, menyebabkan pelepasan asap serta bahan pencemar ke atmosfera, menghasilkan jerebu.
"Hakikatnya, El Nino mampu memanjangkan musim panas di rantau yang terlibat. Musim panas yang panjang meningkat kemungkinan berlaku kebakaran hutan, memburukkan lagi keadaan jerebu," katanya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata dalam laporan media pada 15 April, jerebu yang melanda negara adalah akibat kebakaran hutan gambut.
RISIKO KESIHATAN
Semasa berlaku El Nino, Prof Madya Mohd Shahrul berkata, perubahan dalam peredaran atmosfera boleh memberi kesan kepada corak angin, berpotensi membawa asap serta bahan pencemar yang dihasilkan kawasan yang terbakar ke arah Malaysia.
"Keadaan ini pasti memburukkan paras jerebu di negara ini. Kombinasi keadaan kering, kebakaran hutan serta pelepasan bahan pencemar daripada pelbagai sumber boleh meningkatkan paras zarah, seperti zarah bawaan udara.
"Zarah ini boleh menyumbang kepada jerebu dan mendatangkan risiko kesihatan, menyebabkan isu pernafasan dan kesan kesihatan lain yang teruk," katanya.
"Keadaan jerebu yang teruk pada tahun 2019 sebahagian besarnya berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia sementara jerebu yang berlaku pada tahun-tahun lain berpunca daripada faktor yang berbeza.
"Pemantauan kualiti udara yang kerap serta mengurangkan sumber pencemaran adalah penting untuk menyekat keadaan yang teruk," katanya.
KEBAKARAN TANAH GAMBUT
Menurut Pakar Strategi Kempen Serantau, Greenpeace Asia Tenggara, Heng Kiah Chun, jerebu kini bukan sahaja terhad kepada Malaysia dan Indonesia, seperti yang difikirkan ramai orang, tetapi ia juga dari negara Asia Tenggara yang lain.
"Sebagai contoh, jerebu rentas sempadan yang berlaku baru-baru ini berkait langsung dengan pertumbuhan budaya mono dan pertanian di Thailand serta negara jiran lain. Pembukaan tanah untuk kegiatan perladangan menyebabkan tanah gambut menjadi kering dan mudah terbakar.
"Apabila penggondolan hutan dan saliran berlaku, paras air menurun dan menghalang pencerapan karbon. Sebaik terdedah kepada udara, gambut mereput melepaskan karbon dioksida dan menyebabkan tanah tenggelam.
"Dengan gambut menjadi kering, risiko kebakaran hutan serta pembentukan jerebu, kembalinya cuaca panas dan kering akibat El Nino, ini semua memburukkan keadaan jerebu di Malaysia," katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.