Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

FDA saran suntikan tahunan vaksin COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
FDA saran suntikan tahunan vaksin COVID-19

Seorang jururawat menyediakan vaksin Comirnaty buatan Pfizer/BioNTech pada 2 April 2021 di Vienna, Austria. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Jan 2023 09:41AM Dikemas Kini : 24 Jan 2023 09:41AM

REUTERS: Dalam satu anjakan besar pada usaha untuk memperkemaskan strategi vaksin COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) pada Isnin (23 Jan) menyarankan semua warga AS yang sihat seharusnya disuntik vaksin COVID-19 setiap tahun - serupa dengan suntikan demam selesema. 

Dalam dokumen taklimat menjelang mesyuarat pada Khamis (26 Jan), FDA menjelaskan bahawa ia berharap suntikan tahunan akan menggalak lebih ramai warga AS untuk memainkan peranan lebih aktif, lapor Reuters. 

"Kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza, kerana buat masa ini, ia mengelirukan," kata doktor penyakit berjangkit, Dr Bruce Farber. 

"Mesej yang disampaikan sangat bercampur aduk dan mengelirukan mengenai betapa pentingnya vaksin itu. FDA dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan, semua orang harus mendapatkan vaksin bivalen. Manakala orang lain pula menyatakan hanya warga emas saja yang perlu mendapatkan vaksin tersebut. 

"Oleh itu, mereka menerima banyak mesej yang mengelirukan. Dan satu mesej konsisten akan menjadikannya lebih jelas." 

Satu lagi sebab di sebalik pendekatan baru ini adalah kesedaran bahawa tindakan untuk menyuruh warga AS mendapatkan suntikan baru bagi setiap varian yang muncul bukan lagi satu strategi yang berkesan. 

"Idea bahawa kita akan mewujudkan vaksin baru bagi virus yang sedang menular bukan lagi sesuatu yang boleh kita berpegang teguh kerana varian kian berubah dengan amat pantas dan sedang anda menghasilkan vaksin baru, varian lain akan wujud," kata Dr Farber. 

Walaupun vaksin COVID-19 disarankan supaya disuntik setiap tahun, serupa dengan suntikan vaksin demam selesema, Dr Farber menyatakan, orang ramai tidak seharusnya mengelirukan kedua-dua penyakit pernafasan itu kerana ia kekal sebagai penyakit yang rumit. 

"Demam selsema lazimnya berlaku mengikut musim dan orang ramai tidak mengalami demam selesema sebanyak beberapa kali dalam musim yang sama. Mereka juga tidak mengalaminya sepanjang tahun dan beberapa kali setahun. Justeru, ia tidak serupa.

"Namun, ya, pendekatan vaksin COVID-19 serupa dan ia mungkin boleh dilakukan serentak dengan vaksin demam selesema. Jadi, anda perlu mendapatkan satu suntikan." 

Saranan itu akan diteliti oleh jawatankuasa pakar FDA pada Khamis. 

Sekiranya jawatankuasa tersebut menyokong saranan berkenaan dan disokong oleh FDA dan CDC, vaksin bivalen Pfizer dan Moderna yang menyasarkan kedua-dua varian Omicron dan varian asal COVID-19, akan digunakan bagi semua dos vaksin COVID-19 dan bukan saja sebagai dos penggalak. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa