Skip to main content

Dunia

FBI siasat 'tindakan pengganas' di New Orleans; identiti suspek dikenal pasti

Anggaran Waktu Membaca:
FBI siasat 'tindakan pengganas' di New Orleans; identiti suspek dikenal pasti

(Gambar: AFP/Mark Felix)

Diterbitkan : 02 Jan 2025 07:25AM Dikemas Kini : 02 Jan 2025 07:29AM
NEW ORLEANS: Seorang lelaki Texas berusia 42 tahun merempuh sebuah trak pikap ke arah orang ramai yang meraikan Hari Tahun Baharu di French Quarter, New Orleans dan kemudian melepaskan tembakan ke arah polis, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 35 yang lain, dalam serangan awal pagi, dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyatakan bahawa kejadian itu mungkin satu tindakan pengganasan.

Pemandu itu, yang dikenal pasti oleh FBI sebagai Shamsud-Din Jabbar, seorang warga Amerika dari Texas, maut di tempat kejadian dalam insiden berbalas tembakan dengan polis dan mungkin bertindak dengan orang lain, kata para pegawai.

Insiden itu berlaku pada pukul 3.15 petang (5.15 petang, waktu Singapura) berhampiran persimpangan Canal dan Bourbon Streets, destinasi pelancongan bersejarah di French Quarter di bandar tersebut yang terkenal dengan tarikan muzik dan barnya.

Panji ISIS ditemui di dalam kenderaan itu, sekali gus mendorong siasatan ke atas kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan kumpulan pengganas, dedah FBI dalam satu kenyataan. Menurut FBI, kenderaan itu mungkin telah disewa.

"Kami tidak percaya bahawa Jabbar bertanggungjawab sepenuhnya. Kami secara agresif menyiasat setiap petunjuk, termasuk para kenalannya," kata Penolong Ejen Khas FBI Alethea Duncan semasa sidang media.

Para penyiasat menemui senjata dan bahan letupan di dalam kenderaan itu dan bahan letupan lain turut ditemui di French Quarter, menurut FBI. Dua alat letupan telah dimusnahkan, kata Cik Duncan.

Beliau turut mengesahkan angka korban adalah seramai 10 orang selepas beberapa anggota Kongres berkata jumlah itu mungkin meningkat.

Para pegawai menangguhkan Sugar Bowl, perlawanan ragbi kolej Amerika yang berlangsung di New Orleans setiap Hari Tahun Baharu, selama 24 jam, kata penganjur acara.

Bandar itu juga akan menjadi lokasi NFL Super Bowl pada 9 Feb.

Bulan lalu di Jerman, seorang lelaki berusia 50 tahun didakwa atas pelbagai pertuduhan membunuh dan percubaan membunuh selepas polis berkata dia merempuh kereta yang dipandunya ke arah orang ramai di sebuah pasar Krismas di Magdeburg, membunuh lima orang dan mencederakan ramai yang lain.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita