FBI siasat 'serangan pengganas terancang' di Boulder, Colorado
Para pegawai penguat kuasa memakai pakaian perlindungan diri semasa menyiasat serangan di Pearl Street Mall, pada 1 Jun 2025 di Boulder, Colorado. (Gambar: AP/David Zalubowski)
Sambil menegaskan bahawa maklumat itu "masih di peringkat awal", Ketua Polis Boulder Stephen Redfearn berkata bahawa lelaki itu telah diberkas berikutan panggilan kepada pihak polis yang mengatakan bahawa seorang individu bersenjata "membakar ramai orang".
Encik Redfearn berkata bahawa pihaknya belum dapat mengenal pasti suspek, yang menurutnya telah dibawa ke hospital. Beliau berkata terdapat banyak kecederaan dalam kalangan mangsa, antara "dari cedera ringan kepada yang sangat serius".
Serangan di Boulder berlaku di sekitar kawasan di mana satu perhimpunan diadakan untuk memperingati tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Pengarah FBI Kash Patel, dalam satu kenyataan, menyifatkan insiden itu sebagai satu serangan pengganas dan ejen-ejen FBI sudahpun berada di tempat kejadian.
Encik Redfearn bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif di sebalik serangan tersebut.
“Kami tidak menyifatkannya sebagai serangan pengganas buat masa ini,” katanya. "Ini adalah petang Ahad yang indah di pusat bandar Boulder di Pearl Street dan perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali," katanya.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Amerika Syarikat berhubung perang Israel di Gaza, yang telah mendorong peningkatan jenayah bersifat anti-Yahudi.
Pentadbiran Presiden Donald Trump telah memberkas sejumlah penunjuk perasaan tanpa tuduhan dan memotong pembiayaan kepada universiti-universiti elit di Amerika yang dituduh membenarkan tunjuk perasaan diadakan di kampus masing-masing.
Ia juga berikutan penahanan seorang lelaki yang dilahirkan di Chicago dalam kejadian menembak mati dua kakitangan Kedutaan Israel di Washington, D.C. Lelaki tersebut melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu yang meninggalkan acara yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Yahudi Amerika, sebuah kumpulan advokasi yang memerangi sikap anti-Yahudi.
Insiden itu mencetuskan perpecahan di Amerika berhubung perang di Gaza antara penyokong Israel dan penunjuk perasaan pro-Palestin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.