Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

FBI siar dokumen siasatan serangan 9/11, beri bayangan pembabitan Arab Saudi

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiarkan sejumlah dokumen berhubung siasatan serangan 9/11 yang mendakwa ada sokongan kerajaan Arab Saudi kepada pelaku serangan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
FBI siar dokumen siasatan serangan 9/11, beri bayangan pembabitan Arab Saudi

Bendera Amerika Syarikat di bangunan Pentagon pada 11 Sep 2021, ulang tahun ke-20 serangan 9/11 (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 03:58PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 04:07PM

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiarkan sejumlah dokumen berhubung siasatan serangan 9/11 yang mendakwa ada sokongan kerajaan Arab Saudi kepada pelaku serangan tersebut.
Dokumen dari 4 April 2016 itu dikeluarkan Sabtu (11 Sep) malam sempena memperingati ulang tahun ke 20 tragedi 9/11 dan merupakan laporan siasatan pertama didedahkan sejak Presiden Joe Biden mengarahkan kajian semula terhadap bahan yang bersesuaian untuk dikongsi kepada orang awam.

Setebal 16 halaman, ia menunjukkan kaitan antara Omar Bayoumi, yang ketika itu seorang pelajar tetapi disyaki ejen perisikan Saudi, dengan dua pengganas Al-Qaeda yang mengambil bahagian dalam rancangan untuk merampas empat pesawat dan merempuh sasaran di New York dan Washington.
Dokumen berdasarkan temu duga yang dilakukan pada 2009 dan 2015 itu memberi perincian tarikh dan pertemuan Bayoumi bersama dua perampas berkenaan, Nawaf al Hazmi dan Khalid al Midhar, selepas mereka tiba di California Selatan pada 2000.

Ia juga mengukuhkan dakwaan sebelum ini tentang hubungan antara kedua-dua lelaki tersebut dengan Fahad al Thumairy, seorang imam konservatif di masjid King Faad di Los Angeles yang juga pejabat rasmi konsulat Saudi.

Menurut dokumen tersebut nombor telefon yang dikaitkan dengan pemberi maklumat kepada FBI menunjukkan hubungan dengan sejumlah orang yang membantu Hamzi dan Midhar ketika mereka berada di California, termasuk Bayoumi dan Thumairy, serta pemberi maklumat itu sendiri.

Ia menyatakan sumber itu memberitahu FBI bahawa Bayoumi, di luar identiti rasminya sebagai pelajar, mempunyai "status yang sangat tinggi" di konsulat Saudi.

"Bayoumi memberi bantuan kepada Hamzi dan Midha dari segi penterjemahan, perjalanan, penginapan dan pembiayaan," kata memo itu.

Memo itu juga menyatakan isteri kepada sumber maklumat FBI itu memberitahu mereka bahawa Bayoumi sering bercakap mengenai "jihad."

Menerusi panggilan telefon dan komunikasi lain, Bayoumi dan Thumairy juga dikaitkan dengan Anwar al Alaki, ulama kelahiran AS yang menjadi tokoh penting Al-Qaeda sebelum dibunuh dalam serangan dron di Yaman pada 2011.

Presiden Biden berdepan tekanan daripada keluarga mangsa sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang sekian lama mencari rekod itu ketika mereka membuat tuntutan di mahkamah New York dengan mendakwa pegawai kanan Arab Saudi terbabit dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi menafikan sejak dari awal pembabitan mereka.

Rabu lalu, Kedutaan Arab Saudi di Washington, berkata pihaknya menyokong pendedahan sepenuhnya semua rekod berkaitan dan melihat ia sebagai cara untuk 'mengakhiri tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan untuk selama-lamanya'.

Pihak kedutaan juga menjelaskan, setiap tuduhan mengaitkan 'pembabitan Arab Saudi adalah benar-benar palsu'. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan