Skip to main content

Dunia

FBI kenal pasti suspek dalam pengeboman klinik kesuburan California

Anggaran Waktu Membaca:
FBI kenal pasti suspek dalam pengeboman klinik kesuburan California

Guy Edward Bartkus dikenal pasti sebagai suspek setelah sebuah bom meletup berhampiran sebuah klinik kesuburan di Palm Springs, California pada 17 Mei 2025. (Gambar: Reuters/David Swanson, FBI handout)

Diterbitkan : 19 May 2025 12:03PM Dikemas Kini : 19 May 2025 12:50PM
CALIFORNIA: Seorang pegawai FBI berkata pada Ahad (18 Mei) bahawa penyiasat telah mengenal pasti seorang suspek yang ada kaitan dengan pengeboman berhampiran klinik kesuburan di Palm Springs, California..

Pegawai tersebut mengenal pasti suspek itu sebagai Guy Edward Bartkus, yang berusia 25 tahun.

"Kami agak yakin bahawa Encik Bartkus adalah suspek utama kami," kata Akil Davis, penolong pengarah di pejabat lapangan FBI Los Angeles, berucap di sidang media.

"Ini adalah serangan yang disasarkan terhadap kemudahan IVF (persenyawaan in vitro). Jangan silap. Kami menganggap ini ... sebagai tindakan keganasan yang disengajakan."

Sebuah bom meletup tidak lama sebelum pukul 11.00 pagi waktu tempatan (6.00 pagi GMT) pada Sabtu di dalam atau berhampiran kereta yang diletakkan di luar klinik itu.

Seorang individu terbunuh dan sekurang-kurangnya empat lagi cedera dalam letupan itu.

Pegawai berkata pada Ahad bahawa tiada embrio yang disimpan di dalam klinik, terjejas akibat letupan itu.

Encik Davis berkata FBI percaya Bartkus maut dalam letupan itu, dan bahawa dia cuba untuk menyiarkan serangan itu secara langsung.

Mayatnya ditemui berhampiran kenderaan itu - sebuah kenderaan Ford Fusion 2010 berwarna perak.
Related article image
FBI dan anggota penguatkuasa undang-undang lain mengumpul bukti selepas bom meletup berhampiran klinik kesuburan di Palm Springs, California pada 18 Mei 2025. (Gambar: Reuters/David Swanson)
Encik Davis menambah bahawa FBI sedang menjalankan serbuan yang diluluskan mahkamah di rumah suspek.

"Kami tidak percaya bahawa terdapat ancaman berterusan kepada orang awam," tambahnya

Encik Davis berkata FBI sedang menjejaki "sebuah kemungkinan manifesto" sebagai sebahagian daripada siasatannya.

Saluran media Amerika melaporkan bahawa sebuah laman web mengandungi mesej yang kelihatan berkaitan dengan suspek, di mana dia mengemukakan hujah menentang kehidupan manusia.

Video yang dimuat naik online selepas serangan itu menunjukkan struktur satu tingkat yang menempatkan sebahagian daripada operasi klinik.

Bom itu kelihatan telah menyebabkan lubang besar di salah satu dindingnya serta kerosakan di seluruh bangunan.

Pegawai berkata pihaknya menerima ratusan petunjuk dan mengumpul bukti, termasuk serpihan kenderaan yang meletup dan bertaburan beberapa ratus kaki ke setiap arah.

Encik Davis berkata ia dianggap sebagai tempat kejadian jenayah pengeboman terbesar dalam sejarah selatan California.

Bartkus tidak dikenali oleh FBI sebelum kejadian itu.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita