Skip to main content

Dunia

Fasa percubaan pertama RTS Johor Bahru-SG dijangka bermula pada Dis

Fasa percubaan pertama kereta api bagi Projek Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka bermula pada Disember ini, namun belum melibatkan penumpang, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke.
Anggaran Waktu Membaca:
Fasa percubaan pertama RTS Johor Bahru-SG dijangka bermula pada Dis
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke, semasa sesi lawatan dan taklimat di tapak pembinaan Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura pada 3 November 2025. (Gambar: Kementerian Pengangkutan Malaysia)
Diterbitkan : 03 Nov 2025 07:08PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 10:04PM
JOHOR BAHRU: Fasa percubaan pertama kereta api bagi Projek Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka bermula pada Disember ini, namun belum melibatkan penumpang, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke.

Beliau berkata kereta api RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pada pertengahan November ini.

“Dalam tempoh dua minggu lagi, kereta api pertama akan dihantar dan dinaikkan ke depoh. Jika mengikut jadual, orang ramai akan dapat melihat pergerakan tren pada Disember nanti bagi fasa percubaan pertama.

“Bagaimanapun, tren tersebut belum lagi dibuka kepada penumpang kerana masih terdapat beberapa proses penting yang perlu dilaksanakan, termasuk integrasi sistem dan ujian-ujian keselamatan sebelum operasi penuh dimulakan,” katanya.

Encik Loke berkata demikian selepas melawat tapak Projek Laluan RTS di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Bukit Chagar di Johor Bahru pada Isnin (3 Nov).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan struktur Stesen Bukit Chagar dan bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dari segi kerja-kerja struktur sudah siap sepenuhnya.

“Tiga komponen utama projek ini menunjukkan kemajuan positif, iaitu Depoh RTS Link siap 91 peratus, Stesen Bukit Chagar (73 peratus) dan Kompleks CIQ (76.8 peratus),” kata beliau.

Encik Loke berkata sasaran untuk menyiapkan projek Laluan RTS yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura itu masih kekal, iaitu menjelang 31 Disember 2026 bagi membolehkan operasi penuh dimulakan pada Januari 2027.

“Projek ini merupakan usaha besar dan kompleks yang melibatkan dua negara. Saya akan terus memantau kemajuannya setiap tiga bulan bagi memastikan segala cabaran dapat diselesaikan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte. Ltd. (RTSO) Dr Ahmad Marzuki Ariffin berkata kerja-kerja sistem dan operasi bagi Projek Laluan RTS kini mencapai kemajuan sebanyak 65 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Sistem berkenaan kini berada dalam fasa penting dengan ketibaan kereta api pertama di Wadi Hana dijangka pada pertengahan bulan ini.

“Kereta api pertama akan dibawa masuk dari Landasan Ujian Kereta Api Singapura dan tiga lagi set kereta api yang kini berada di Batu Gajah akan dibawa ke depoh RTS di Johor Bahru dalam November ini dan secara keseluruhan projek tersebut melibatkan lapan set kereta api, masing-masing terdiri daripada empat gerabak.

“Perkembangan projek ini berada pada landasan yang betul kerana koordinasi dan pemantauan kerja antara kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Singapura amat rapat. Ini membolehkan projek disiapkan mengikut tarikh ditetapkan,” kata beliau.

Encik Loke berkata setakat ini tiada isu yang menjejaskan jadual pelaksanaan projek, dengan semua pihak termasuk Malaysia dan Singapura memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran kerja-kerja sistem.

Mengulas mengenai uji pandu, beliau berkata ujian "fault-free run" dijangka dilaksanakan pada Julai tahun hadapan selepas semua ujian integrasi sistem selesai.

“Julai hingga Disember 2026 akan menjadi tempoh penting untuk pelaksanaan ujian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi termasuk kastam, imigresen dan keselamatan kedua-dua negara,” kata Encik Loke.

Beliau turut memaklumkan proses ketibaan kereta api akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan keselamatan di tapak, memandangkan setiap kereta api seberat kira-kira 40 tan akan diangkat ke tingkat tiga depot RTS.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita