Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

FAMA beri jaminan bekalan telur di M'sia cukup sepanjang Ramadan, Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:

JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan telur termasuk gred A dan B di seluruh Malaysia stabil bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata bagaimanapun, permintaan bagi telur gred AA, gred A dan gred B meningkat dalam bulan puasa memandangkan ia bahan utama yang digunakan untuk membuat kuih, kek, biskut raya serta juadah berbuka.

"Namun, FAMA difahamkan pihak pengeluar cuba untuk memenuhi keperluan pengguna tetapi penghasilan bagi telur gred tersebut juga bergantung kepada umur ayam yang diternak.

"Secara keseluruhan, kita mempunyai banyak pilihan termasuk telur omega dan telur kampung yang mempunyai saiz membolehkan pengguna membuat pilihan," katanya kepada wartawan semasa program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani @ Pasar Tani di Merlimau, Jasin, pada Ahad (2 Apr). 

Encik Abdul Rashid berkata FAMA juga akan memastikan bekalan telur di pasaran mencukupi dan menambah bekalan di mana-mana tempat sekiranya mendapat maklumat berlaku kekurangan seperti di negeri-negeri pantai timur.

"Apabila berlaku kekurangan telur kita akan berbincang dengan pembekal dan antara perbincangan itu kuota yang diberikan kepada FAMA untuk tingkatkan bekalan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mengalami kekurangan bekalan kerana tiada pengeluaran kilang yang besar," katanya.

Beliau berkata FAMA juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan telur ayam ke seluruh negara dan sehingga 31 Mac.

FAMA telah mengedarkan sebanyak 21.5 juta biji telur melalui 369 cawangan pemasarannya di seluruh negara.

"Intervensi ini diteruskan sehingga Jun tahun ini, namun penilaian semasa akan dilakukan sama ada perlu diteruskan lagi sehingga hujung tahun dan buat masa ini FAMA memperoleh bekalan dari tujuh negeri pembekal utama komoditi itu Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan