Skip to main content

Dunia

Fadillah Yusof akur pelantikan selaku Timbalan PM tanggungjawab besar; perlu digalas penuh amanah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Encik Fadillah Yusof menyifatkan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas sebaik mungkin dengan penuh amanah.

Kata beliau, yang juga Ahli Parlimen Petrajaya itu, peranan tersebut harus dipikul dengan mengangkat nilai istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan negara.

"Pelantikan ini adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sabah dan Sarawak."

"Insya-Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberi keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur."

"Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat (2 Dis), lapor agensi berita Astro Awani.

Encik Fadillah, yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), turut menjunjung kebijaksanaan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong sehingga membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik negara.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi negara."

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, selaku Pengerusi GPS, serta seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi," tambah beliau lagi, menurut agensi berita Astro Awani.

Encik Fadillah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekali gus mencipta sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama dari Sarawak yang menyandang jawatan berprofil tinggi berkenaan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam pengumuman khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, sekitar pukul 8.15 malam pada Jumaat.

 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita