Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Facebook rancang lakukan penjenamaan semula dengan pertukaran nama

Facebook, yang dikritik hebat oleh para pengawal selia dan penggubal undang-undang berhubung amalan perniagaannya, merancang untuk mengubah semula jenamanya dengan nama baru yang menumpukan kepada 'metaverse'.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook rancang lakukan penjenamaan semula dengan pertukaran nama

Logo Facebook (Gambar fail: REUTERS/Stephen Lam)

MENLO PARK, California: Facebook, yang dikritik hebat oleh para pengawal selia dan penggubal undang-undang berhubung amalan perniagaannya, merancang untuk mengubah semula jenamanya dengan nama baru yang menumpukan kepada 'metaverse'.

Demikian lapor The Verge pada Selasa (19 Okt).

Perubahan nama itu akan diumumkan pada minggu depan, lapor The Verge, memetik sumber yang mempunyai pengetahuan langsung berhubung hal tersebut.

Langkah itu mungkin menjadikan aplikasi utama tersebut sebagai salah satu produk di bawah sebuah syarikat induk yang akan menyelia jenama-jenama seperti Instagram dan WhatsApp, menurut laporan itu. Google mengamalkan struktur sedemikian apabila ia melaksanakan penyusunan semula kepada sebuah syarikat pemegangan yang dipanggil Alphabet pada 2015.

Facebook bagaimanapun menyatakan pihaknya tidak memberi komen tentang "khabar angin atau spekulasi".

Ketua Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg sebelum ini menyebut tentang 'metaverse', iaitu sebuah dunia digital di mana para pengguna boleh beralih antara peranti berbeza dan saling berhubungan dalam sebuah sekitaran maya, sejak Julai lalu dan syarikat itu membuat banyak pelaburan dalam realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR), dengan membangunkan perkakasan seperti alat dengar Oculus VR dan kaca mata AR serta teknologi pergelangan tangan.

Istilah 'metaverse' pertama kali wujud dalam sebuah novel genre distopia tiga dekad lalu, dan ia kini popular di Silicon Valley dan dirujuk oleh beberapa syarikat teknologi lain seperti Microsoft.

Permainan popular kanak-kanak Roblox menyifatkan konsepnya sebagai sebuah syarikat 'metaverse'. Permainan Fortnite ciptaan Epic Games juga dianggap sebagai sebahagian daripada 'metaverse'.

Encik Zuckerberg merancang untuk memberi perincian tentang perubahan nama itu semasa persidangan tahunan Connect syarikat itu pada 28 Oktober, namun ia mungkin didedahkan lebih awal, menurut The Verge.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan