Facebook larang kandungan nasionalisme, pemisahan kulit putih di kesemua platformnya
Facebook mengumumkan bahawa ia akan melarang kandungan yang memuji, menyokong dan mewakili gerakan nasionalisme dan pemisahan kulit putih - satu langkah yang dialu-alukan New Zealand.
REUTERS: Facebook mengumumkan bahawa ia akan melarang kandungan yang memuji, menyokong dan mewakili gerakan nasionalisme dan pemisahan kulit putih - satu langkah yang dialu-alukan New Zealand. 50 orang dibunuh beramai-ramai di dua masijd di negara itu, yang disiarkan langsung menerusi wadah media sosial tersebut awal bulan ini.
Sebelum ini, kumpulan-kumpulan hak sivil mendakwa bahawa gergasi-gergasi media sosial gagal untuk mengekang ekstremisme dan ini dibangkitkan semula selepas seorang suspek pelampau supremasi kulit putih menyiarkan secara langsung serangan-serangan yang dilakukannya di Christchurch, New Zealand.
Facebook, Twitter dan YouTube menerima tekanan untuk menghapuskan kandungan-kandungan supremasi kulit putih dan neo-Nazi daripada platform mereka, di samping berita palsu dan pelbagai jenis catatan kesat.
Sebagai respons, Facebook mengukuhkan lagi pasukan-pasukan pemantaunya dan menurunkan laman-laman yang digunakan untuk menyebarkan dan menganjurkan rapat-rapat oleh kumpulah supremasi kulit putih.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, yang menggesa supaya platform-platform media sosial bersikap bertanggungjawab ke atas kandungan yang dimuat naik para pengguna, berkata bahawa bahan-bahan sedemikian seharusnya sudahpun dilarang di bawah peraturan-peraturan Facebook mengenai ucapan kebencian.
"Bagaimanapun, saya senang hati mereka menyertakan syarat-syarat baru, dan mengambil langkah itu. Namun, saya rasa perlu ada perbincangan dengan masyarakat antarabangsa tentang sama ada langkah itu sudah memadai," katanya dalam satu sidang media di Christchurch pada Khamis.
"Terdapat pengajaran-pengajaran daripada insiden di Christchurch dan kami tidak ingin sesiapa melalui insiden pahit ini lagi."
Usulan itu akan dikuatkuasakan pada minggu depan, menurut Facebook dalam catatan blognya. Ia akan dilaksanakan ke atas aplikasi Facebook dan Instagram.
Facebook sudah lama melarang kandungan berunsur supremasi kulit putih di bawah peraturan-peraturan berkaitan kandungan "berbaur kebencian", tetapi ia sebelum ini tidak menyifatkan kandungan supremasi kulit putih atau pemisahan sebagai unsur perkauman terang-terangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.