Skip to main content

Dunia

FAA bentuk lembaga berbilang agensi AS semak pembaikan sofwe Boeing

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menyatakan pada Selasa (7 Mei) bahawa pihaknya telah membentuk Lembaga Penasihat Teknikal berbilang agensi untuk mengkaji semula rancangan pembaikan sofwe pesawat jenis 737 MAX yang diusulkan oleh Boeing.

Anggaran Waktu Membaca:
FAA bentuk lembaga berbilang agensi AS semak pembaikan sofwe Boeing

Pesawat Boeing 737 MAX. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 08 May 2019 02:46PM Dikemas Kini : 08 May 2019 02:52PM

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menyatakan pada Selasa (7 Mei) bahawa pihaknya telah membentuk Lembaga Penasihat Teknikal berbilang agensi untuk mengkaji semula rancangan pembaikan sofwe pesawat jenis 737 MAX yang diusulkan oleh Boeing.

Lembaga itu merangkumi para pakar dari FAA, Angkatan Udara Amerika Syarikat, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Pusat Sistem Pengangkutan Volpe yang tidak terlibat dalam sebarang aspek pentauliahan pesawat Boeing 737 MAX.

Cadangan-cadangan lembaga itu akan "dipertimbangkan secara langsung dalam keputusan FAA berhubung pengembalian semula khidmat 737 MAX dengan selamat."

Pengendalian pesawat jenis tersebut telah digantung merata dunia pada pertengahan Mac setelah dua kemalangan melibatkan pesawat Boeing 737 MAX pada Oktober dan Mac lalu meragut 346 nyawa.

Boeing, yang belum lagi menyerahkan secara formal butiran pembaikan sofwe bagi kelulusan FAA, tidak segera mengulas tentang langkah penilaian semula itu pada Selasa.

Beberapa anggota Kongres menggesa FAA untuk menjalankan penilaian semula secara bebas terhadap sistem kawalan automatik yang menjadi tumpuan siasatan ekoran dua nahas pesawat Boeing 737 MAX, sebelum pesawat itu dibenarkan untuk beroperasi semula.

Lembaga tersebut yang dikenali sebagai TAB akan menilai pembaikan ke atas sistem pengemudian pesawat MCAS yang bakal diusulkan oleh Boeing, menurut FAA.

Sistem itu diaktifkan semasa kemalangan pesawat Ethiopian Airlines pada Mac dan juga semasa nahas pesawat Lion Air di Indonesia pada Oktober.

Beberapa penilaian semula sedang dilaksanakan, termasuk jawatankuasa yang dilantik Setiausaha Pengangkutan Elaine Chao untuk meneliti proses pentauliahan pesawat yang dilaksanakan FAA.

Para pendakwa raya, ketua inspektor Jabatan Pengangkutan dan para anggota Kongres sedang menyiasat proses pentauliahan pesawat jenis 737 MAX 8 oleh FAA.

Penilaian semula secara berasingan oleh 10 badan kawal selia pemerintah dimulakan minggu lalu dan ia dijangka mengambil masa 90 hari, tetapi FAA menyatakan keputusan sama ada untuk membenarkan jenis pesawat itu untuk kembali beroperasi, tidak semestinya bergantung kepada penyelesaian penilaian semula itu.

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita