Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Exco Johor bakal dilantik perlu isytihar harta, jalani semakan latar belakang menyeluruh

Calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat perisytiharan harta selain melalui semakan latar belakang menyeluruh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Anggaran Waktu Membaca:
Exco Johor bakal dilantik perlu isytihar harta, jalani semakan latar belakang menyeluruh

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (tengah) bersama menteri besar Johor ke-19 Onn Hafiz Ghazi (kiri) dan Hasni Mohammad (kanan). (Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

JOHOR BAHRU: Calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat perisytiharan harta selain melalui semakan latar belakang menyeluruh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau berkata demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang berlangsung kira-kira sejam, dekat Johor Bahru, semalam (16 Mac).

Sultan Ibrahim berkata, dengan berakhirnya Pilihan Raya Johor, sudah tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” ungkap Sultan Ibrahim yang turut menambah kelayakan akademik setiap calon juga perlu disemak kesahihannya dengan teliti.

Beliau menekankan nasib rakyat sentiasa diutamakan, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan. Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. 

“Di peringkat awal ini, MB Onn juga perlu bekerjasama dengan Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” ujarnya lanjut.

Tiga hari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Onn Hafiz, 43 tahun, memenangi kerusi berkenaan dalam pertandingan empat penjuru semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu (12 Mac), sekali gus menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543 undi.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan