Skip to main content

Dunia

EU sedia capai perjanjian berkaitan tarif dengan Amerika Syarikat sebelum 1 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
EU sedia capai perjanjian berkaitan tarif dengan Amerika Syarikat sebelum 1 Ogos

Cik Von der Leyen tegaskan, Eropah secara "konsisten" mencari penyelesaian "melalui rundingan" dengan Amerika. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 13 Jul 2025 12:53PM Dikemas Kini : 13 Jul 2025 12:54PM

ISTANBUL: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Sabtu (12 Jul) menyatakan kesediaan untuk berusaha ke arah mencapai perjanjian dengan Amerika Syarikat sebelum 1 Ogos, susulan pengumuman Presiden Donald Trump mengenai tarif sebanyak 30 peratus ke atas blok itu yang akan bermula bulan depan.

“Kami kekal bersedia untuk terus berusaha ke arah satu perjanjian menjelang 1 Ogos. 

"Pada masa yang sama, kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan EU, termasuk penggubalan tindakan balas yang setimpal jika diperlukan,” kata von der Leyen dalam satu kenyataan bertulis.

Beliau menegaskan, Eropah secara “konsisten” mencari penyelesaian “melalui rundingan” dengan Amerika Syarikat dan mengulangi “komitmen” terhadap dialog, kestabilan dan perkongsian transatlantik yang “konstruktif”.

Menurutnya, hanya “sedikit” ekonomi di dunia yang mampu “menyaingi” tahap “keterbukaan dan pematuhan terhadap amalan perdagangan adil” yang diamalkan oleh blok itu.

“Pelaksanaan tarif sebanyak 30 peratus ke atas eksport EU akan mengganggu rantaian bekalan transatlantik yang penting dan memberi kesan negatif kepada perniagaan, pengguna dan pesakit di kedua-dua belah Atlantik,” kata von der Leyen dengan nada amaran.

Beliau berkata Kesatuan Eropah akan terus “memperkukuh” kerjasama global mereka, yang “berpaksikan prinsip perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan.”

Sebelum ini, Encik Trump mengumumkanAmerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas EU dan Mexico bermula 1 Ogos.

Dalam satu catatan di platform Truth Social, Encik Trump berkongsi dua surat berasingan yang ditujukan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, mengumumkan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan dari Eropah dan Mexico yang menuju ke Amerika.

Surat itu kini memburukkan lagi rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Eropah, yang sebelum ini menyasarkan untuk memuktamadkan satu perjanjian perdagangan menyeluruh bulan ini.

Sumber : Bernama/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita