EU sambut baik langkah M'sia mansuh hukuman mati mandatori

Bendera Kesatuan Eropah (Gambar: AFP / JOHN THYS)
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) menyambut baik langkah Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menyifatkan ia sebagai langkah penting ke arah menamatkan sepenuhnya hukuman mati selari dengan trend dunia.
Jurucakap EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Nabila Massrali, berkata EU menantikan perubahan segera keputusan itu kepada satu undang-undang oleh kerajaan Malaysia.
Beliau berkata EU bersedia menyokong Malaysia dalam usahanya untuk menghapuskan sepenuhnya hukuman mati.
“Secara dasarnya, EU menentang keras hukuman mati pada setiap masa dan dalam apa juga keadaan.
“Hukuman mati melanggar hak untuk hidup dan merupakan hukuman paling kejam, tidak berperikemanusiaan, yang gagal bertindak sebagai penghalang kepada jenayah dan mewakili penafian yang tidak boleh diterima terhadap maruah serta integriti manusia,” kata Cik Massrali dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman EU pada Sabtu (11 Jun).
Menurut beliau, EU akan terus berusaha untuk memansuhkan hukuman mati di beberapa negara yang masih melaksanakannya.
Malaysia pada Jumaat (10 Jun) bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan hukuman lain yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Menurut Kerajaan Malaysia, kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.