EU rancang operasi terbesar tangani kebakaran hutan musim panas
Kesatuan Eropah (EU) merancang operasi terbesarnya setakat ini bagi menangani kebakaran hutan pada musim panas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penduduk tempatan berusaha padam kebakaran di Keratea, dekat Athens, Greece, pada 8 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Stelios Misinas)
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Selasa (2 Jun) berkata hampir 800 anggota bomba dari 14 negara akan dikerahkan ke kawasan yang paling berisiko di Cyprus, Greece, Itali, Perancis, Sepanyol dan Portugal, berikutan peningkatan risiko kebakaran hutan di seluruh Eropah.
Selain itu, 22 pesawat dan lima helikopter daripada armada EU turut berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan.
“Inilah semangat perpaduan Eropah dalam bertindak.
“Anggota bomba dari seluruh benua kita berkongsi satu misi: melindungi penduduk, kediaman dan hutan,” kata Cik von der Leyen.
Projek itu diselaraskan dan dibiayai oleh Suruhanjaya Eropah menerusi Mekanisme Perlindungan Awam.
Inisiatif berkenaan turut disokong oleh penyelarasan dan bantuan oleh para pakar di pusat koordinasi kecemasan.
Selain itu, EU juga merancang untuk menubuhkan sebuah balai bomba serantau Eropah baharu di Cyprus bagi memperkukuh keupayaan pencegahan dan tindak balas terhadap kebakaran hutan di seluruh Eropah serta rantau selatan Mediterranean.
Menurut laporan berhubung keadaan iklim Eropah yang diterbitkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU, kebakaran hutan di Eropah memusnahkan lebih sejuta hektar kawasan pada 2025, iaitu keluasan terbesar yang pernah direkodkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.