Skip to main content

Dunia

EU rancang kurangkan kebergantungan kepada teknologi Amerika dan Asia

Kesatuan Eropah (EU) akan menggariskan pada Rabu bagaimana blok 27 negara itu berharap untuk mengurangkan kebergantungannya kepada teknologi Amerika dan Asia, serta mengutamakan alternatif digital Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
EU rancang kurangkan kebergantungan kepada teknologi Amerika dan Asia

Kesatuan Eropah (EU) mahu mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat-syarikat teknologi dari Amerika Syarikat dan Asia. (Gambar: AFP/Sameer Al-Doumy)

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan menggariskan pada Rabu bagaimana blok 27 negara itu berharap untuk mengurangkan kebergantungannya kepada teknologi Amerika dan Asia, serta mengutamakan alternatif digital Eropah.

Pelan tersebut berisiko mencetuskan kemarahan lanjut Amerika Syarikat, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini membantah keras denda dan peraturan yang dikenakan EU terhadap syarikat-syarikat teknologi Amerika.

Sejak setahun lalu, blok itu mempergiat usahanya untuk meningkatkan pengilangan domestik merentas sektor, selain mengejar kemajuan syarikat-syarikat pesaing di Amerika Syarikat dan China.

Pesuruhjaya Teknologi EU Henna Virkkunen akan membentangkan pakej baharu “kedaulatan teknologi” tersebut di Brussels, termasuk peraturan baharu berkaitan cip, pengkomputeran awan
dan kecerdasan buatan (AI).

Matlamatnya adalah untuk membangunkan ekosistem digital yang memastikan Eropah dapat mengekalkan kawalannya ke atas perkhidmatan dan data, selain mampu menangkis campur tangan asing.

Brussels bimbang kelemahan ketaranya semakin terserlah menyusuli krisis berkaitan cip dan unsur nadir bumi dengan China tahun lalu, ditambah pula dengan kebimbangan bahawa Presiden Donald Trump yang berang pada suatu ketika nanti mungkin memutuskan akses kepada perkhidmatan pengkomputeran awan Amerika melalui “suis pemutus”.

Dalam satu draf dokumen strategi yang dilihat AFP, EU menyatakan bahawa ia bergantung kepada penyedia asing bagi “lebih daripada 80 peratus produk, perkhidmatan, prasarana digital dan harta intelek”, berdasarkan laporan rasmi 2023.

Bagaimanapun, EU menegaskan bahawa usaha tersebut bukan bertujuan untuk menyingkirkan penyedia asing, sebaliknya untuk memperkukuh industri Eropah dan memastikan blok itu terus berdaya saing dalam perlumbaan AI.

DOMINASI PENGKOMPUTERAN AWAN AMERIKA SYARIKAT

Berdasarkan teks yang dilihat AFP, pakej tersebut akan merangkumi:
 
  • undang-undang baharu berhubung pengkomputeran awan dan AI bagi menggalakkan pembinaan pusat data di EU. Brussels berharap peraturan itu akan menggandakan kapasiti blok tersebut sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang;
  • meningkatkan permintaan terhadap semikonduktor keluaran Eropah menerusi undang-undang cip baharu;
  • menggalakkan sektor awam untuk menggunakan lebih banyak penghuraian sofwe dengan sumber terbuka yang menjamin kawalan dan fleksibiliti dengan lebih baik, serta mengelakkan kebergantungan kepada penyedia-penyedia tertentu;
  • mewujudkan skim penarafan bersama EU bagi menilai kemampanan pusat data.

Pengkomputeran awan dikuasai platform Amerika Syarikat, dengan tiga syarikat terbesar - Microsoft Azure, Amazon Web Services dan Google Cloud - menguasai 70 peratus pasaran Eropah.

EU dianggar membelanjakan sebanyak 264 bilion euro (S$395 bilion) setahun untuk sofwe pengkomputeran cloud Amerika Syarikat, menurut laporan 2025 oleh firma perunding Perancis, Asteres.

Brussels juga dijangka mengenakan kriteria kedaulatan bagi kontrak awam dalam sektor pengkomputeran cloud dan AI, selain mahu mewajibkan pemerintah untuk menjalankan “penilaian risiko kedaulatan” bagi mengenal pasti penyedia Eropah apabila diperlukan.

Usaha tersebut sebahagiannya didorong kebimbangan terhadap data rakyat Eropah memandangkan Akta Cloud 2018 yang diperkenalkan semasa pentadbiran Encik Trump membolehkan Washington untuk menuntut akses kepada data daripada para penyedia yang berpangkalan di Amerika Syarikat tanpa mengira lokasi simpanan data tersebut.

'KAMI TETAPKAN PERATURAN KAMI SENDIRI'

Terdapat kebimbangan bahawa peraturan baharu itu boleh mencetuskan tindak balas daripada Encik Trump. Namun seorang anggota Parlimen Eropah yang terlibat secara rapat dalam usaha kedaulatan teknologi tersebut berkata kepada para wartawan pada Selasa bahawa Eropah “tidak seharusnya tunduk kepada tekanan”.

“Kami menetapkan peraturan kami sendiri di Eropah, berdasarkan keperluan dan tuntutan rakyat Eropah,” kata Matthias Ecke daripada kumpulan Socialists and Democrats, walaupun beliau menjangkakan penyedia Amerika Syarikat akan terus “mendominasi” pasaran meskipun EU mempergiat usaha tersebut.

Brussels sedang memperjelaskan tekadnya.

Suruhanjaya Eropah pada minggu lalu menyatakan bahawa ia mahu memperuntukkan sebahagian daripada frekuensi satelit mudah alih yang kini digunakan pengendali Amerika Syarikat bagi syarikat-syarikat Eropah.

Langkah terbaharu itu mencerminkan perubahan terhadap pendekatan Brussels, yang bukan sahaja beralih daripada mengawal selia syarikat-syarikat teknologi gergasi, malah mula mengutamakan teknologi Eropah.

Cip, pengkomputeran awan dan AI merupakan “sistem saraf ekonomi moden”, yang menggerakkan segala-galanya daripada pertahanan hingga penjagaan kesihatan, kata anggota Parlimen Eropah Oliver Schenk.

“Oleh itu, Eropah tidak mampu untuk terus sekadar menjadi pengguna teknologi kritikal yang dibangunkan di tempat lain,” kata anggota Parlimen Eropah daripada blok konservatif itu kepada AFP.

Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita