Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

EU, negara anggota peruntuk €10 bilion bagi pelaburan prasarana ASEAN

Anggaran Waktu Membaca:
EU, negara anggota peruntuk €10 bilion bagi pelaburan prasarana ASEAN

Bendera Kesatuan Eropah (EU) di luar bangunan Suruhanjaya Eropah di Brussels pada 16 Jun 2022. (Gambar fail: Kenzo TRIBOUILLARD/AFP)

KUALA LUMPUR: Sebagai memperingati sambutan 45 tahun kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kesatuan itu dan negara-negara anggotanya mengumumkan peruntukan sebanyak €10 billion (S$14.4 bilion) sebagai sebahagian daripada kempen 'Global Gateway' untuk mempercepat pelaburan prasarana di negara-negara ASEAN. 

Pakej berkenaan akan menumpukan kepada program peralihan hijau dan ketersambungan mampan di Asia Tenggara disokong oleh dua Inisiatif Pasukan Eropah, iaitu Initiatif Ketersambungan Mampan dan Inisiatif Eropah Pasukan Hijau.

Pelaburan itu akan menumpukan kepada sektor tenaga, pengangkutan, pendigitalan, pendidikan dan penggalakan rantaian nilai mampan.

Inisiatif tersebut juga akan menyokong peralihan Asia Tenggara kepada ekonomi hijau, memastikan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan penting, peluang ekonomi dan pekerjaan.

“Kita meraikan 45 tahun kerjasama antara dua rantau yang bergantung kepada kerjasama pelbagai hala dan sistem dunia yang berasaskan peraturan. Global Gateway akan mengukuhkan lagi perkongsian strategik kita.

“Inisiatif Ketersambungan Mampan akan mengukuhkan ekonomi ASEAN, mencipta peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin dalam perjuangan kita menangani perubahan iklim,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, inisiatif tersebut akan menyokong sambungan rangkaian elektrik ASEAN bagi mempertingkatkan akses kepada tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam pendigitalan, termasuk ketersambungan menerusi kabel dasar laut dan menggalakkan rantaian nilai mampan dari segi alam sekitar, ekonomi dan sosial. 

Selain itu, ia juga akan mengukuhkan perkongsian EU dengan rantau tersebut dalam usaha tindakan iklim, alam sekitar dan perlindungan kepelbagaian bio, peralihan tenaga bersih, daya tahan bencana, pencegahan pembalakan haram, penyeludupan hidupan liar dan pencemaran udara.

Ia menyediakan rangka kerja bagi tindakan hijau yang diselaraskan antara rakan kongsi Pasukan Eropah yang menyertai pakej itu dan negara-negara anggota ASEAN.
 
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan