Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

EU ikrar bantuan €3 bilion kepada Jordan bagi perkongsian strategik baharu

Anggaran Waktu Membaca:
EU ikrar bantuan €3 bilion kepada Jordan bagi perkongsian strategik baharu

(Gambar: AFP/Nicolas Tucat)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 10:57AM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 10:59AM
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu (29 Jan) menjanjikan 3 bilion euro dalam bentuk pembiayaan dana dan pelaburan untuk Jordan sebagai sebahagian daripada perkongsian "strategik" baharu dengan sekutu utama Timur Tengah itu.

"Dengan peralihan geopolitik semasa dan krisis yang semakin meruncing di rantau itu, mengukuhkan perkongsian EU-Jordan adalah keputusan yang tepat pada masanya," kata ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

Raja Jordan Abdullah II berada di Brussels untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian bagi tempoh dari 2025 hingga 2027.

Jordan, yang menampung berjuta-juta pelarian dari negara-negara jiran, telah lama dilihat oleh Eropah sebagai benteng kestabilan penting di rantau yang dilanda konflik itu.

Status itu menjadi lebih penting dalam menghadapi peperangan di Gaza dan ketika Syria mengalami peralihan yang tidak menentu selepas penggulingan mantan Presiden Bashar al-Assad.

"Jordan memainkan peranan penting untuk menyatukan gencatan senjata di Gaza dan EU mengiktiraf kepentingan Jordan sebagai hab serantau untuk bantuan kemanusiaan," kata von der Leyen.

"Kepimpinan Jordan dalam menyokong peralihan Syria menyerlahkan lagi peranan pentingnya dalam membentuk masa depan rantau itu."

Menurut Brussels, pakej untuk Jordan akan terdiri daripada geran 640 juta euro, satu bilion euro dalam bentuk geran dan 1.4 bilion euro bagi pelaburan.

"EU menunjukkan komitmennya untuk menyokong Jordan dalam mengemudi cabaran geopolitik semasa, meneruskan pembaharuan yang memacu pertumbuhan dan kemajuan masyarakat," kata von der Leyen.

EU sangat terdesak untuk kestabilan di Timur Tengah dan rantau Mediterranean kerana ia berharap untuk mengelakkan aliran besar pendatang asing ke Eropah.

Ekonomi Jordan terjejas oleh konflik di seluruh Timur Tengah, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF) berkata krisis itu telah menjejaskan pertumbuhan.

Amman juga kecewa selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengusulkan idea untuk memindahkan penduduk Gaza ke Mesir atau Jordan.

Amman telah menolak saranan itu dan kuasa-kuasa serantau dan Eropah yang lain juga telah menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza keluar dari wilayah tersebut.

Hampir kesemua daripada 2.4 juta penduduk Carikan Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang, yang bermula dengan serangan kumpulan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan