EU hulur AS$70.9 juta tangani krisis Rohingya
Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan €68 juta (AS$70.9 juta) tahun ini bagi menangani krisis Rohingya, umum pemerintah peralihan Bangladesh pada Isnin (3 Mac).

Bantuan kewangan diumumkan sedang krisis pembiayaan semakin meruncing bagi masyarakat Rohingya yang tertindas. (Gambar: AFP/Chaideer Mahyuddin)
Menurut Anadolu Ajansi, dana itu akan digunakan untuk membantu masyarakat tuan rumah di Bangladesh serta penduduk yang terjejas akibat keganasan di wilayah Rakhine, Myanmar, menurut kenyataan pemerintah selepas Pemimpin Pemerintah Peralihan, Muhammad Yunus bertemu dengan Pesuruhjaya EU Hadja Lahbib yang sedang dalam rangka lawatan ke Dhaka, pada Isnin (3 Mac).
Bantuan kewangan itu diumumkan sedang krisis pembiayaan semakin meruncing bagi masyarakat Rohingya yang tertindas.
Pesuruhjaya EU bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis itu berkata, walaupun jumlah tersebut melebihi sumbangan awal EU pada tahun lalu, namun masih tidak mencukupi untuk mengelakkan kemerosotan ketara situasi kemanusiaan di kem-kem pelarian.
Bangladesh kini menampung lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di Cox's Bazar, tenggara negara itu, sejak mereka melarikan diri daripada tindakan tentera Myanmar pada 2017.
Encik Yunus menegaskan komitmen pemerintahnya untuk menangani krisis kemanusiaan Rohingya, sambil menyifatkannya sebagai "isu besar" bagi Bangladesh.
"Ia telah berlarutan selama beberapa tahun tanpa penyelesaian," katanya.
"Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) akan datang ke sini. Kami sedang berusaha menarik perhatian antarabangsa terhadap krisis Rohingya," kata Encik Yunus.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dijadual melawat Bangladesh dari 13 hingga 16 Mac.
Sementara itu, Penyelaras Residen PBB di Bangladesh Gwyn Lewis turut menyuarakan kebimbangan mengenai krisis pembiayaan Rohingya ketika bertemu Encik Yunus pada Ahad (2 Mac).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.