Skip to main content

Dunia

EU gesa Taliban benarkan gadis belajar peringkat menengah di Afghanistan

Anggaran Waktu Membaca:

MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin (28 Mac) mengecam keputusan Taliban melarang lebih sejuta gadis di Afghanistan daripada menerima pendidikan peringkat menengah dan yakin langkah itu mengurangkan peluang kumpulan itu mendapat perakuan yang "diingini".

Kementerian Pendidikan Afghanistan sebelum ini mengumumkan bahawa kanak-kanak perempuan dibenarkan menghadiri kelas setakat darjah enam manakala pembelajaran peringkat atasan harus menunggu sehingga keputusan diumumkan kelak, lapor Sputnik.

“Kesatuan Eropah dan negara-negara anggota, bersama rakan kongsi antarabangsa mengecam keputusan Taliban menafikan hak akses pendidikan lebih sejuta gadis Afghanistan.

Ia adalah pencabulan terhadap hak asasi semua kanak-kanak untuk mendapat akses pendidikan, termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan beberapa peraturan hak asasi manusia antarabangsa, di mana Afghanistan juga pihak kepada deklarasi itu," menurut kenyataan Majlis EU.

Keputusan itu merendahkan peluang Taliban mendapatkan pengiktirafan yang ditunggu-tunggu dan ia merupakan komitmen Taliban kepada masyarakat awam serta rakyat dan rakan kongsi antarabangsa, menurut kenyataan itu lagi.

"Kami tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan (Taliban) ini, jika ia terus menjauhkan diri daripada parameter yang kami rasa penting untuk dianggap sebagai rakan sejawatan.

“Keadaan ini meletakkan kami dalam situasi yang sangat sukar," ketua dasar luar EU Josep Borrell memberitahu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah pada Isnin.

Ia petanda buruk untuk masa depan Afghanistan, tambah Borrell.

Peralihan kuasa Taliban di Afghanistan pada Ogos tahun lalu mencetuskan kegawatan ekonomi dan krisis kekurangan bekalan makanan yang telah mendorong negara itu terjerumus ke dalam krisis kemanusiaan.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita