Skip to main content

Dunia

EU gesa syarikat teknologi utama tingkatkan usaha atasi pembulian siber

Platform-platform online mungkin perlu meningkatkan usaha untuk memerangi pembulian siber, menurut Suruhanjaya Eropah pada Selasa (10 Feb), ketika ia mengumumkan beberapa langkah untuk menangani masalah yang menjejas seorang daripada setiap enam kanak-kanak dan mencetuskan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesihatan mental mereka.
Anggaran Waktu Membaca:
EU gesa syarikat teknologi utama tingkatkan usaha atasi pembulian siber
Bendera Kesatuan Eropah (EU) berkibar di luar ibu pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels, Belgium, pada 20 Jun 2018. (Gambar fail: REUTERS/Yves Herman)
Diterbitkan : 11 Feb 2026 07:36AM
  • Suruhanjaya Eropah mengumumkan langkah baharu untuk memerangi pembulian siber yang menjejas seorang daripada enam kanak-kanak.
  • EU akan mengemas kini Akta Perkhidmatan Digital dan Arahan Perkhidmatan Media Audiovisual bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak di platform online.
  • Pelan tindakan termasuk pelancaran aplikasi EU untuk memudahkan laporan buli siber, penyimpanan bukti, dan sokongan kepada mangsa.
  • Langkah ini diambil kerana pembulian siber memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak.
Dijana oleh AI
BRUSSELS: Platform-platform online mungkin perlu meningkatkan usaha untuk memerangi pembulian siber, menurut Suruhanjaya Eropah pada Selasa (10 Feb), ketika ia mengumumkan beberapa langkah untuk menangani masalah yang menjejas seorang daripada setiap enam kanak-kanak dan mencetuskan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesihatan mental mereka.

Inisiatif Kesatuan Eropah (EU) untuk menangani pembulian siber itu diumumkan sedang negara-negara di seluruh dunia mempertimbangkan langkah-langkah untuk mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial berikutan kesannya terhadap kesihatan dan keselamatan mereka.

Akta Perkhidmatan Digital, yang mewajibkan platform online meningkatkan usaha untuk mengekang kandungan haram dan berbahaya, mengandungi garis panduan berhubung perlindungan bagi golongan bawah umur, termasuk langkah-langkah bagi memastikan kanak-kanak boleh menyekat mana-mana pengguna dan mereka tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana kumpulan online tanpa kebenaran.

Buku peraturan penting itu akan dikemas kini bagi memperkukuh langkah-langkah yang perlu diambil oleh platform online untuk mencegah golongan bawah umur daripada terdedah kepada kandungan berbahaya serta memudahkan laporan kandungan sedemikian, menurut pihak eksekutif EU.

Ia turut memaklumkan bahawa satu lagi undang-undang yang dikenali sebagai Arahan Perkhidmatan Media Audiovisual, yang mengawal selia televisyen, penyiar dan platform perkongsian video, juga akan dikemas kini untuk menangani isu tersebut.

“Memerangi pembulian siber bermakna menyelamatkan nyawa, kerana buli siber mencederakan, menyakiti, dan kadangkala meragut nyawa orang yang kita sayangi. Ia adalah satu pandemik yang harus kita tangani,” kata Pesuruhjaya EU bagi Belia, Kebudayaan dan Sukan, Glenn Micallef, dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu menyatakan pelan tindakannya termasuk melancarkan satu aplikasi di peringkat EU yang membolehkan para mangsa melaporkan kes buli siber kepada satu talian bantuan kebangsaan, menyimpan dan menghantarkan bukti, serta mendapatkan sokongan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita