EU gantung perjanjian perdagangan dengan Amerika susuli keputusan Mahkamah Agung
Seorang pekerja membetulkan bendera EU dan Amerika Syarikat di ibu pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels pada 11 Nov 2013. (Gambar: Reuters)
Langkah itu diambil setelah Encik Trump memberi amaran kepada negara-negara yang cuba "mengambil kesempatan" daripada keputusan Mahkamah Agung bahawa beliau akan mengenakan tarif yang lebih tinggi jika mereka cuba berbuat demikian.
Ketidakpastian mencengkam pasaran-pasaran dunia sejak Mahkamah Agung memutuskan pada Jumaat bahawa Encik Trump tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan tarif di bawah undang-undang 1977 yang digunakan untuk memperkenalkan tarif-tarif tersebut - yang Encik Trump bertindak balas dengan menggunakan undang-undang lain untuk mengenakan tarif global baharu sebanyak 15 peratus.
Ancaman baharu itu meningkatkan kebimbangan di Brussels mengenai kesannya terhadap perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat yang dicapai pada Julai tahun lalu, dengan para pegawai dan penggubal undang-undang Eropah berkata barangan EU boleh dikenakan duti import lebih tinggi di bawah syarat perjanjian tersebut.
Para perunding EU menyokong keputusan untuk menggantung perjanjian itu sehingga ia lebih jelas kelak, sekali gus menangguhkan undian yang sepatutnya berlangsung pada Selasa (24 Feb).
"Kami mahukan kejelasan daripada Amerika Syarikat bahawa mereka menghormati perjanjian itu," kata ketua jawatankuasa, Bernd Lange, sambil menambah para perunding akan mengadakan pertemuan pada 4 Mac.
"Disebabkan oleh ketidakpastian ini, undian tidak wajar diadakan sekarang," kata penggubal undang-undang, Anna Cavazzini.
ANCAMAN BAHARU TRUMP
Wakil Perdagangan Jamieson Greer memberitahu media Amerika Syarikat pada Ahad bahawa perjanjian dengan China, EU dan rakan-rakan kongsi lain tetap berkuat kuasa.
Namun jurucakap Suruhanjaya Eropah Olof Gill berkata Brussels tidak boleh membuat keputusan lanjut sehingga ia mendapat kejelasan daripada Amerika Syarikat.
"Kami mengalu-alukan rakan sejawatan kami dari Amerika Syarikat untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku," kata Encik Gill kepada para wartawan di Brussels.
Menyusuli keputusan Mahkamah Aung Amerika Syarikat pada Jumaat, Encik Trump bertindak balas dengan memperkenalkan tarif global baharu sebanyak 10 peratus ke atas import di bawah undang-undang lain, sebelum menaikkannya kepada 15 peratus.
Encik Trump berkata tarif baharu itu dijadual berkuat kuasa pada Selasa, dengan pengecualian diberikan kepada sesetengah produk.
Ia akan luput dalam masa 150 hari melainkan Kongres melanjutkan tempohnya.
China pada Isnin (23 Feb) menggesa Amerika Syarikat supaya membatalkan tarif balasan, manakala beberapa negara sedang mengkaji keputusan Mahkamah Agung dan pengumuman tarif Encik Trump seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.