Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

EU capai persetujuan bersejarah bagi undang-undang baharu kawal selia AI

Anggaran Waktu Membaca:
EU capai persetujuan bersejarah bagi undang-undang baharu kawal selia AI

Gambar fail: AFP/Fabrice Coffrini

BRUSSELS: Para penggubal dasar Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat (8 Dis) bersetuju dengan undang-undang baharu yang menyeluruh untuk mengawal selia kecerdasan buatan (AI), salah satu percubaan pertama di dunia untuk menghadkan penggunaan teknologi yang berkembang pesat itu, yang mempunyai implikasi sosial dan ekonomi yang meluas.

Undang-undang yang diberi nama Akta AI, akan menetapkan tanda aras global yang baharu bagi negara-negara yang ingin memanfaatkan teknologi itu, sambil cuba melindungi daripada risiko-risikonya, seperti mengautomasikan pekerjaan, menyebarkan maklumat salah secara online dan mengancam keselamatan negara. Undang-undang baharu itu masih perlu melalui beberapa langkah terakhir untuk diluluskan, tetapi dengan perjanjian politik tersebut, ini bermakna matlamat-matlamat utamanya telah ditetapkan.

Sebagai sebahagian daripada strategi digitalnya, EU mahu mengawal selia kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan keadaan yang lebih baik untuk pembangunan dan penggunaan teknologi inovatif ini. AI boleh mencipta banyak faedah, seperti penjagaan kesihatan yang lebih baik; pengangkutan yang lebih selamat dan bersih; pengilangan yang lebih cekap; dan tenaga yang lebih murah dan lebih mampan.


Keutamaan Parlimen adalah untuk memastikan sistem AI yang digunakan di EU adalah selamat, telus, boleh dipantau, tidak mendiskriminasi dan mesra alam. Sistem AI perlu diselia dan bukan setakat melalui automasi untuk mengelakkan hasil yang berbahaya.


Parlimen juga mahu mewujudkan takrifan teknologi yang lebih seragam untuk AI yang boleh digunakan pada sistem AI pada masa akan datang.


Para penggubal dasar Eropah menumpukan perhatian kepada penggunaan A.I yang paling berisiko oleh syarikat-syarikat dan pemerintah-pemerintah, termasuk untuk penguatkuasaan undang-undang dan pengendalian khidmat penting seperti air dan tenaga.

Pembuat sistem AI bagi tujuan umum terbesar, seperti yang menjanakan chatbot ChatGPT, akan berdepan dengan peraturan dan syarat-syarat ketelusan yang baharu.

Chatbot dan sofwe yang mencipta imej yang dimanipulasi seperti "deepfake" perlu menjelaskan dengan jelas bahawa apa yang orang ramai lihat telah dihasilkan oleh AI, menurut para pegawai EU dan draf undang-undang yang lebih awal.

Sofwe pengecaman wajah yang digunakan oleh polis dan pemerintah akan dihadkan di luar pengecualian bidang kuasa dan keselamatan negara tertentu. Syarikat-syarikat yang melanggar peraturan dan undang-undang boleh dikenakan denda sehingga 7 peratus daripada penjualan globalnya.

"Eropah mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis dalam bidang ini, memahami peranan pentingnya sebagai piawai global," menurut Thierry Breton, pesuruhjaya Eropah yang membantu merundingkan perjanjian itu, dalam satu kenyataan.


Perjanjian itu yang dicapai di Brussels mengambil masa selama tiga hari untuk dirundingkan, termasuk sesi awal selama 22 jam yang bermula pada petang Rabu dan berlarutan hingga Khamis. Perjanjian muktamad tidak diumumkan serta-merta kerana rundingan dijangka diteruskan di balik tabir untuk melengkapkan butiran teknikal, yang mungkin akan melengahkan pusingan akhir rundingan. Undian mesti diadakan di Parlimen dan Majlis Eropah, yang terdiri daripada para wakil daripada 27 negara dalam kesatuan tersebut.

Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan