Skip to main content

Dunia

ETS3 JB-KL Sentral beri kelegaan kepada pengguna; disifatkan lebih lancar, selesa

Anggaran Waktu Membaca:
ETS3 JB-KL Sentral beri kelegaan kepada pengguna; disifatkan lebih lancar, selesa
Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) yang mula beroperasi pada 12 Disember 2025 dan membawa seramai 233 penumpang dari KL Sentral, tiba di JB Sentral sekitar 12.20 tengah hari. (Gambar: Mohd Hilmizudin Daud/BERNAMA)
Diterbitkan : 12 Dec 2025 05:34PM
  • Operasi sulung Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) di antara Kuala Lumpur dengan Johor Bahru hari ini (12 Dis), memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam khususnya rakyat Johor yang lama menantikan perkhidmatan kereta api langsung di antara dua destinasi itu.
  • Kereta api pertama, yang bergerak dari KL Sentral kira-kira 8.00 pagi tadi membawa 233 penumpang, tiba di JB Sentral pada 12.20 tengah hari.
  • Perkhidmatan ETS3 dengan kelajuan 140 kilometer sejam membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih pantas dan cekap dengan perjalanan dari KL Sentral hingga JB Sentral mengambil masa hanya kira-kira empat jam 20 minit berbanding menggunakan jalan raya yang boleh mengambil masa sehingga tujuh jam.
  • Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memaklumkan perkhidmatan itu setakat ini melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Operasi sulung Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) di antara Kuala Lumpur dengan Johor Bahru hari ini (12 Dis), memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam khususnya rakyat Johor yang lama menantikan perkhidmatan kereta api langsung di antara dua destinasi itu. 

Kereta api pertama, yang bergerak dari KL Sentral kira-kira 8.00 pagi tadi membawa 233 penumpang, tiba di JB Sentral pada 12.20 tengah hari. Rata-rata, para penumpang menyifatkan perkhidmatan itu bukti pemodenan dan peningkatan sistem pengangkutan awam di selatan Malaysia.

Jurutera Muhamad Izzat Safian, 35 tahun, yang pulang bercuti di Larkin berkata perkhidmatan ETS3 memberi penjimatan dari segi kos dan masa selain menawarkan keselesaan kepada pengguna tegar pengangkutan awam sepertinya.

“Selalunya kalau saya memandu atau menaiki bas, tempoh perjalanan bertambah dan ada masa lebih lambat (daripada kebiasaan) disebabkan kesesakan lalu lintas, baik pulih jalan dan sebagainya.

“Sekarang perjalanan lebih lancar dengan adanya kereta api dan kita rasa lebih santai serta tenang. Secara keseluruhan kemudahan termasuk tandas dan surau juga selesa,” katanya semasa ditemui di JB Sentral hari ini.

Warga Singapura Sulia Shamsudin, 42 tahun, berkata beliau memilih ETS3 sebagai pengangkutan untuk pulang ke Johor Bahru selepas seminggu bercuti di Kuala Lumpur kerana ingin mencuba pengangkutan itu.

“Pada mulanya kami tidak merancang untuk pulang dengan menaiki kereta api. Selepas dapat tahu ada (ETS3) kami rasa teruja dan cuba nasib membeli tiket,” kata suri rumah dari kawasan Bedok itu.

Sementara itu, Kwong Can Han, 34 tahun, dari Kuala Lumpur berkata beliau memilih kereta api sebagai pengangkutan pulang ke kampung isteri di Taman Sutera, Johor Bahru, kerana ingin merasai pengalaman berbeza.

“Selalunya saya menaiki bas tetapi kali ini teringin menggunakan kereta api kerana boleh menikmati pemandangan,” katanya.

Perkhidmatan ETS3 dengan kelajuan 140 kilometer sejam membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih pantas dan cekap dengan perjalanan dari KL Sentral hingga JB Sentral mengambil masa hanya kira-kira empat jam 20 minit berbanding menggunakan jalan raya yang boleh mengambil masa sehingga tujuh jam.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memaklumkan perkhidmatan itu setakat ini melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

Pembelian tiket menerusi aplikasi KITS Style, mesin kios atau laman web rasmi KTMB bermula pada 9 Disember dengan tawaran diskaun istimewa 30 peratus untuk perkhidmatan ETS sektor selatan bagi perjalanan dari 12 Disember hingga 11 Jan tahun hadapan. 

Pengoperasian ETS3 KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral melengkapkan sambungan laluan yang sebelum ini berakhir di Kluang.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita