Skip to main content

Dunia

Eropah mungkin percepat pelancaran ke angkasa lepas bagi penuhi permintaan satelit

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah mungkin percepat pelancaran ke angkasa lepas bagi penuhi permintaan satelit

Roket Ariane 6 Eropah berlepas, di Kourou, French Guiana, 9 Julai 2024. (Gambar fail: Reuters/ESA/Manuel Pedoussaut)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 11:54PM
PARIS: Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) sedang mempertimbangkan langkah meningkatkan jadual pelancaran roket Ariane 6 dan Vega-C dalam beberapa tahun akan datang bagi mengatasi kemungkinan kekangan dalam pelancaran satelit, kata ketua badan 23 negara itu pada Rabu (2 Sep).

Ketua Pengarah ESA Josef Aschbacher berkata kepada wartawan bahawa keputusan perlu dibuat tidak lama lagi sekiranya anggaran peningkatan mendadak permintaan yang memuncak pada 2030 menjadi kenyataan.

Unjuran terkini pengendali Arianespace adalah untuk melancarkan sembilan atau 10 roket Ariane 6 setahun mulai 2027.

Berdasarkan misi saintifik dan misi lain Eropah sendiri, selain kemungkinan permintaan lanjut daripada Amazon serta aktiviti komersial lain, permintaan kini melebihi kapasiti yang dirancang, kata Encik Aschbacher semasa satu acara anjuran persatuan media aeroangkasa AJPAE.

Amazon sudah menempah 18 pelancaran.

“Sudah tentu persoalannya, bolehkah kita memenuhi semua pelancaran ini? Itulah penilaian yang sedang kami lakukan sekarang,” kata Encik Aschbacher sambil menambah bahawa setakat ini belum ada keputusan dibuat.

“Kami sedang menilai kos, manfaat ... anda boleh bayangkan ini bukan perkara mudah,” katanya.

“Kami sudah agak jauh dalam beberapa anggaran ini, tetapi jelas bahawa jika kami mahu memenuhi keperluan pelancaran pada 2030 ... kami perlu membuat keputusan tidak lama lagi untuk membangunkan kapasiti yang diperlukan.”

Arianespace, anak syarikat usaha sama roket ArianeGroup milik Airbus-Safran, enggan mengulas sebelum taklimat media berkala yang dijadualkan pada 7 September.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita