Skip to main content

Dunia

Eropah kerah tentera ke Greenland susuli tekanan Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah kerah tentera ke Greenland susuli tekanan Trump

Bendera Greenland di Nuuk, Greenland. (Gambar fail: Reuters/Marko Djurica)

Diterbitkan : 16 Jan 2026 07:01AM Dikemas Kini : 16 Jan 2026 07:02AM
NUUK: Negara-negara Eropah mula mengerahkan sebilangan kecil anggota tentera ke Greenland pada Khamis (15 Jan). Langkah ini diambil sedang Denmark dan sekutu-sekutunya bersiap sedia untuk mengadakan latihan tentera bagi meyakinkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai keselamatan pulau itu, di tengah-tengah usaha Encik Trump untuk memiliki wilayah tersebut.

Pertemuan antara para pegawai dari Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland pada Rabu (14 Jan) berjaya mengelakkan penghinaan terbuka (seperti yang dialami Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tahun lalu), namun ia masih gagal menyelesaikan pertikaian tersebut dengan pantas.

"Amerika masih bercita-cita untuk mengambil alih Greenland," kata Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen dalam satu kenyataan bertulis pada Khamis. Beliau menyifatkan perkara ini sebagai "perselisihan yang asas" dan menegaskan Denmark akan terus berusaha untuk menghalang senario itu daripada menjadi kenyataan.

TRUMP SEBUT KEPENTINGAN RUSIA & CHINA

Encik Trump berpendapat Greenland yang kaya dengan mineral sangat penting untuk keselamatan Amerika Syarikat. Beliau mahu Amerika Syarikat memiliki pulau itu bagi menghalang Rusia atau China daripada mendudukinya. Encik Trump juga menuduh Denmark tidak mampu menyekat pengaruh Rusia dan China di rantau Artik.

Rusia pula menyifatkan dakwaan NATO mengenai ancaman Mosko dan Beijing di Greenland sebagai "mitos" yang sengaja diada-adakan untuk mencetuskan histeria, sambil memberi amaran terhadap bahaya berlaku peningkatan konfrontasi di rantau itu.

Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan kehadiran besar kapal China atau Rusia berhampiran pantai Greenland. Greenland dan Denmark menegaskan pulau itu bukan untuk dijual dan sebarang ancaman kekerasan adalah tindakan yang melulu.

Beberapa negara besar Kesatuan Eropah (EU) menyokong Denmark dan memberi amaran bahawa tindakan tentera Amerika Syarikat untuk merampas Greenland boleh menamatkan pakatan NATO.

Jerman, Perancis, Sweden, Norway, dan Belanda sudah menghantar kakitangan tentera untuk memulakan persiapan latihan berskala besar lewat tahun ini. Kementerian Pertahanan Denmark menyatakan ia sedang meneroka cara praktikal untuk meningkatkan kehadiran tentera dan aktiviti latihan di Artik bersama sekutu-sekutur dari Eropah.

Menteri Luar Denmark Lars Lokke Rasmussen berkata kira-kira 200 tentera Amerika Syarikat kini ditempatkan di Greenland (yang mempunyai penduduk sekitar 57,000 orang). Walaupun skala mengukuhkan kekuatan tentera Eropah tidak didedahkan, penempatan awal dilihat masih kecil:

Jerman: Menghantar pasukan peninjau seramai 13 orang.

Perancis: Menghantar kira-kira 15 pakar pergunungan dan berikrar akan menambah aset darat, udara dan laut.

Sweden & Norway: Masing-masing menghantar tiga dan dua pegawai.

Britain & Belanda: Masing-masing menghantar seorang pegawai.

Poland: Menyatakan ia tidak akan menghantar askar.

Marc Jacobsen, profesor madya di Kolej Pertahanan Diraja Denmark, berkata penempatan ini menyampaikan dua mesej kepada Amerika Syarikat:

Amaran: Menunjukkan Eropah bersedia mempertahankan Greenland jika Amerika Syarikat menggunakan kekerasan.

Tanggungjawab: Menunjukkan Eropah memandang serius terhadap kritikan Amerika Syarikat dengan meningkatkan kawalan dan kedaulatan pulau itu.

Selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Naib Presiden JD Vance, Denmark dan Greenland bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja untuk membincangkan kebimbangan mengenai pulau itu.

Perdana Menteri Greenland Jens-Frederik Nielsen menegaskan di Facebook bahawa pulau itu tidak mahu ditadbir atau dimiliki oleh Amerika Syarikat. Beliau menyeru rakyatnya agar terus bertenang dan bersatu padu dalam menjaga kedaulatan Greenland sebagai sebahagian daripada Denmark dan NATO.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita