Eropah boleh capai imuniti kelompok jelang Julai, menurut EU
Eropah boleh capai imuniti kelompok jelang Julai, menurut EU.
Orang awam di Eropah. (Gambar: REUTERS/Gonzalo Fuentes)
PARIS: Eropah boleh mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 menjelang Julai, menurut pesuruhjaya Kesatuan Eropah, sedang kempen vaksinasi yang perlahan dijangka dipercepat di benua itu.
Beberapa negara di Eropah sudah mula melaksanakan semula sekatan-sekatan sedang mereka berdepan dengan kes jangkitan yang meningkat dan selepas menerima mesej mengelirukan tentang keselamatan vaksin utama.
"Ayuh tetapkan tarikh simbolik: Menjelang 14 Julai, kita mungkin dapat mencapai imuniti (kelompok) di merata benua ini," Thierry Breton, suruhanjaya EU bagi pasaran dalam negeri memberitahu stesen penyiaran TF1.
"Kita berada di pusingan akhir kerana kita tahu bahawa untuk menumpaskan pandemik ini hanya satu huraiannya: Vaksinasi. Vaksin-vaksin akan tiba (di sini)," kata beliau.
Lebih sepertiga penduduk Perancis kini diletakkan di bawah perintah berkurung baru, sementara kekecewaan terhadap usaha membendung virus itu mencetuskan tunjuk perasaan di Jerman, Amsterdam, Bulgaria dan Switzerland.
Usaha Eropah untuk mencegah gelombang ketiga jangkitan daripada berlaku menjadi rumit disebabkan kempen vaksinasi yang tidak teratur termasuk beberapa negara yang menggantung sementara vaksin AstraZeneca berikutan kes-kes terpencil berhubung masalah darah beku.
Kebanyakan negara sudahpun menyambung semula penggunaan vaksin tersebut selepas Agensi Ubat-Ubatan Eropah mendapati ia "selamat dan berkesan".
Namun AstraZeneca baru menghantar 30 peratus dripada 90 juta dos yang dijanjikan kepada EU bagi suku pertama.
Menurut Encik Breton, beliau yakin lebih banyak vaksin akan tiba tidak lama lagi, dengan 300 hingga 350 juta dos dijangka antara Mac dengan Jun.
Beliau menambah sebanyak 55 kilang sedang menghasilkan vaksin itu di Eropah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.