Eropah bentang rancangan damai bagi Ukraine menjelang rundingan Trump-Putin
Para pegawai Eropah dilaporkan sudah membentangkan rancangan damai masing-masing bagi Ukraine kepada Amerika Syarikat pada Sabtu (9 Ogos).
Bendera Kesatuan Eropah dan Ukraine berkibaran di ibu pejabat EU di Brussels pada Isnin (24 Feb). (Gambar: AP/Virginia Mayo)
Ini sedang Presiden Donald Trump bersiap sedia mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat depan (15 Ogos).
Encik Trump berkata beberapa pihak termasuk Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy semakin hampir mencapai perjanjian yang boleh menghuraikan konflik Ukraine-Rusia yang sudah berlarutan selama tiga setengah tahun.
Butiran perjanjian tersebut belum lagi diumumkan, tetapi, Encik Trump berkata ia melibatkan "pertukaran beberapa wilayah demi kebaikan kedua-dua pihak". Ini bermakna, Ukraine mungkin perlu menyerahkan sebahagian besar wilayahnya kepada Rusia.
Namun, Kyiv dan sekutu-sekutunya di Eropah mengatakan, langkah itu hanya akan mendorong Rusia meneruskan pencerobohannya.
Pada Sabtu (9 Ogos), Naib Presiden Amerika JD Vance bertemu dengan sekutu-sekutunya dari Ukraine dan Eropah di Britain bagi membincangkan usaha damai Encik Trump.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), antara lain, negara-negara Eropah mahu gencatan senjata dilaksanakan terlebih dahulu sebelum langkah-langkah lain diambil.
Selain itu, sebarang pertukaran wilayah mestilah adil dan seimbang dan disertakan dengan jaminan keselamatan yang kukuh.
"Anda tidak boleh mulakan proses tersebut dengan melakukan pertukaran wilayah di tengah-tengah peperangan," menurut seorang perunding Eropah yang dipetik oleh WSJ.
Pegawai Eropah yang dihubungi Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.