Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Eropah ambil tindakan segera sekat perjalanan dari Afrika Selatan susulan varian baru COVID-19

Jerman dan Itali menyertai Britain dalam menguatkuasakan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan sedang pemerintah di seluruh Eropah bergegas memperkuatkan pertahanan mereka bagi mencegah penularan varian baru COVID-19. EU secara berasingan menyarankan larangan perjalanan dari benua Afrika selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah ambil tindakan segera sekat perjalanan dari Afrika Selatan susulan varian baru COVID-19

Kaunter South Africa Airways di lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa O.R. Tambo di Johannesburg, Afrika Selatan pada 23 Sep 2021 (Gambar fail: Emmanuel Croset / AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 06:28PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 06:38PM

BERLIN: Jerman dan Itali pada Jumaat (26 Nov) menyertai Britain dalam menguatkuasakan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan sedang pemerintah di seluruh Eropah bergegas memperkuatkan pertahanan mereka bagi mencegah penularan varian baru COVID-19 yang mempunyai sejumlah besar mutasi.

Kesatuan Eropah (EU) secara berasingan menyarankan larangan perjalanan dari benua Afrika selatan.

Eksekutif EU "akan menyarankan, dengan kerjasama rapat negara-negara anggota, untuk menguatkuasakan larangan perjalanan udara dari wilayah Afrika selatan disebabkan kehadiran varian membimbangkan B.1.1.529," kata ketua EU Ursula Von der Leyen menerusi Twitter pada Jumaat.

Sekatan perjalanan baru yang dikuatkuasakan Jerman bermula Jumaat malam, akan meliputi Afrika Selatan serta "mungkin juga negara-negara jirannya" kata Menteri Kesihatan Jens Spahn dengan hanya warga Jerman dibenarkan masuk. Mereka harus menjalani kuarantin 14 hari meskipun jika sudah divaksinasi, tambah beliau sedang Jerman kini bergelut gelombang keempat pandemik itu.

Di Rome, pemerintahnya mengumumkan larangan masuk kepada mereka yang telah berada di Afrika Selatan, Lesotho, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Namibia atau Eswatini dalam tempoh dua minggu lalu.

Menteri Kesihatan Roberto Speranza berkata saintis sedang mengkaji varian baru B.1.1.529 dan "sementara itu, kami akan mengambil pendekatan berhati-hati peringkat tertinggi".

Dalam pada itu, Britain mengumumkan bahawa semua penerbangan dari Afrika Selatan dan beberapa negara jirannya akan dilarang masuk bermula hari ini.

Afrika Selatan mengutuk keras keputusan Britain itu.

"Sedang Afrika Selatan menghormati hak semua negara untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu bagi melindungi warga mereka, keputusan UK untuk melarang sementara penduduk Afrika Selatan daripada memasuki UK dilakukan secara tergesa-gesa. Bahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia masih belum mengeluarkan nasihat mengenai langkah selanjutnya," menurut kementerian luar Afrika Selatan dalam satu kenyataan.

Jumlah kematian di Eropah kini melepasi 1.5 juta dan ia sekali lagi menjadi pusat global bagi pandemik yang tidak pernah berhenti itu.

Kumpulan saintis kini bertungkus lumus untuk memahami kesan varian baru yang bermutasi itu dan bimbang jika ia lebih mudah menjangkiti berbanding Delta, yang menyebabkan dunia kembali berdepan penularan meluas setahun selepas virus itu muncul di China.

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan