Skip to main content

Dunia

Erdogan, Trump bincang isu Ukraine, Syria dan ancaman pengganasan

Dalam perbincangannya bersama Presiden Donald Trump melalui panggilan telefon, Presiden Turki Tayyip Erdogan merundingkan usaha untuk menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine serta memulihkan kestabilan di Syria, menurut pejabat Encik Erdogan pada Ahad (16 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Erdogan, Trump bincang isu Ukraine, Syria dan ancaman pengganasan

Presiden Turki, Tayyip Erdogan semasa lawatannya ke Putrajaya, Malaysia pada 11 Februari 2025. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 17 Mar 2025 08:05AM Dikemas Kini : 17 Mar 2025 08:06AM
ISTANBUL: Dalam perbincangannya bersama Presiden Donald Trump melalui panggilan telefon, Presiden Turki Tayyip Erdogan merundingkan usaha untuk menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine serta memulihkan kestabilan di Syria, menurut pejabat Encik Erdogan pada Ahad (16 Mac).

Beliau juga memberitahu Encik Trump bahawa Turki menyokong "inisiatif tegas dan langsung" Presiden Amerika itu dalam menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine. Pada masa yang sama, Turki akan terus berusaha untuk mencapai "keamanan yang adil dan berkekalan", menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Encik Erdogan turut membincangkan tentang "pentingnya menyumbang secara bersama ke arah usaha menghapuskan sekatan ke atas Syria bagi memulihkan kestabilan, memastikan pentadbiran baharu dapat berfungsi dan menyokong normalisasi," kata kenyataan itu lagi, sambil menambah bahawa langkah tersebut akan membolehkan rakyat Syria untuk kembali ke tanah air mereka.

Dalam kenyataan yang sama, Turki juga berharap agar langkah-langkah Amerika dalam memerangi pengganasan, akan mengambil kira kepentingan negara tersebut.

Dalam perjuangan menentang ISIS di Syria, Amerika berganding bahu dengan kumpulan Kurdi yang disifatkan oleh Turki sebagai sebuah kumpulan pengganas. Turki sebelum ini telah mengkritik pendirian Amerika itu sebagai satu pengkhianatan terhadap sekutu-sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Encik Erdogan berkata adalah penting untuk menamatkan sekatan CAATSA, memuktamadkan proses pemerolehan jet F-16 bagi Ankara dan penyertaan semula Turki dalam program F-35 bagi membangunkan kerjasama industri pertahanan antara Turki dan Amerika Syarikat.

Pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia oleh Ankara sebelum ini membawa kepada sekatan oleh Amerika Syarikat dan sehubungan itu, Turki digugurkan daripada program jet pejuang F-35 pada 2019.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita