Skip to main content

Dunia

Erdogan tarik balik ugutan usir diplomat negara Barat

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin (25 Okt) menarik balik ancamannya untuk mengusir 10 duta Barat atas kenyataan bersama mereka menyuarakan sokongan kepada seorang pemimpin masyarakat sivil yang dipenjarakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Erdogan tarik balik ugutan usir diplomat negara Barat

Gambar fail Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (Gambar: Adem ALTAN/AFP)

Diterbitkan : 26 Oct 2021 11:22AM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 11:26AM

ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin (25 Okt) menarik balik ancamannya untuk mengusir 10 duta Barat atas kenyataan bersama mereka menyuarakan sokongan kepada seorang pemimpin masyarakat sivil yang dipenjarakan.

Beliau berkata demikian selepas Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang terlibat mengeluarkan kenyataan yang sama menyatakan mereka menghormati konvensyen PBB yang memerlukan diplomat tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri negara tuan rumah.

Presiden Erdogan berkata kenyataan baru itu "menunjukkan mereka sudah mengambil langkah undurkan diri daripada fitnah terhadap negara kita", sambil menambah: "Mereka akan lebih berhati-hati sekarang."

Mata wang Lira Turki mula mengukuh semula daripada paras terendah ekoran kelegaan bahawa Turki dan negara-negara Barat masing-masing berundur daripada ambang krisis diplomatik paling serius dalam pemerintahan Presiden Erdogan selama 19 tahun.

Kebuntuan tercetus menyusuli seruan bersama minggu lalu oleh kedutaan AS, Jerman, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Belanda, New Zealand, Norway dan Sweden agar Turki segera meleraikan kes undang-undangnya terhadap dermawan yang dipenjara, Osman Kavala.

Pemimpin masyarakat sivil dan ahli perniagaan berusia 64 tahun itu dipenjarakan selama empat tahun, tanpa sabitan.

Para penyokong menganggap Kavala sebagai simbol tidak bersalah akibat sikap semakin tidak bertolak ansur terhadap perbezaan pendapat politik oleh Presiden Erdogan menyusuli insiden percubaan tentera merampas kuasa pada 2016 namun gagal.

Bagaimanapun Presiden Erdogan menuduh Kavala membiayai gelombang tunjuk perasaan antipemerintah pada 2013 dan kemudian memainkan peranan dalam cubaan merampas kuasa.

Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang ditumpukan kepada krisis itu, Encik Erdogan berkata "tugasnya sebagai ketua negara adalah untuk memberikan respons yang sewajarnya" terhadap pencabulan hak kedaulatan Turki oleh pihak asing.

"Badan kehakiman Turki tidak menerima arahan daripada sesiapa dan tidak berada di bawah perintah sesiapa," kata Presiden Erdogan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

"Niat kami sama sekali bukan untuk menimbulkan krisis tetapi untuk melindungi hak, undang-undang, kehormatan, kepentingan dan hak kedaulatan kami."

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita