Erdogan selar 'belia LGBT' sedang polis suraikan bantahan baru
Presiden Recep Tayyib Erdogan pada Isnin (1 Feb) menyelar gerakan LGBT di Turki, menuduhnya "merosakkan harta benda awam" menyusuli satu bantahan para pelajar.
Beberapa mahasiswa diheret oleh polis gara-gara melakukan pemberontakan. (Gambar: FP/Bulent Kilic)
ISTANBUL: Presiden Recep Tayyib Erdogan pada Isnin (1 Feb) menyelar gerakan LGBT di Turki, menuduhnya "merosakkan harta benda awam" menyusuli satu bantahan para pelajar.
Empat orang diberkas kerana memaparkan gambar tapak paling suci dalam Islam dengan bendera pelangi LGBT semasa satu rapat yang diadakan di Universiti Bogazici di Istanbul.
Sejurus selepas Encik Erdogan memberi ucapan menerusi televisyen semalam, satu lagi bantahan tercetus di universiti yang sama dengan puluhan orang ditahan dan gambar-gambar di media sosial menunjukkan polis mengheret para mahasiswa yang melakukan bantahan secara aman.
"Kami akan membawa anak-anak muda kita ke masa depan, bukan sebagai belia LGBT tetapi sebagai belia yang wujud daripada sejarah gemilang negara kita," tegas Encik Erdogan menerusi video.
"Anda bukan belia LGBT, bukan golongan belia yang merosakkan harta benda awam. Sebaliknya, anda yang membaiki hati-hati yang kecewa."
CETUS RASA BENCI
Kumpulan-kumpulan hak asasi menuduh Encik Erdogan membawa negara dengan majoriti penduduk Islam tetapi rasminya sekular itu ke arah yang semakin konservatif sepanjang beliau berkuasa selama 18 tahun.
Golongan homoseksual dibenarkan oleh undang-undang sepanjang sejarah moden Turki.
Namun masyarakat LGBT sering berdepan gangguan dan acara-acara LGBT - termasuk Istanbul Pride - dihalang di bawah pentadbiran Encik Erdogan.
Turki berdepan dengan bantahan-bantahan oleh para mahasiswa pada bulan lalu selepas Encik Erdogan melantik seorang yang setia kepadanya sebagai ketua Universiti Bogazici.
Semasa bantahan pada Jumaat lalu (29 Feb) para penunjuk perasaan menggantung lukisan bertentagan pejabat rektor baru itu. Gambar tersebut menunjukkan tapak suci di Makkah dan gambar-gambar bendera pelangi gerakan LGBT.
Polis Turki menuduh empat orang "mencetuskan kebencian dalam kalangan penduduk".
Dua daripada mereka sudah ditahan reman dan lagi dua ditahan di rumah mereka.
Menteri Ehwal Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu menyifatkan suspek-suspek insiden itu sebagai "empat orang LGBT pelik".
Semalam, kumpulan-kumpulan mahasiswa itu sekali lagi mengadakan bantahan di universiti tersebut meskipun dengan kehadiran ratusan polis rusuhan. Mereka menuntut empat mahasiswa itu dibebaskan dan rektor berkenaan melepaskan jawatannya.
Para wartawan AFP melihat beberapa mahasiswa ditarik polis dan gabenor Istanbul kemudian mengesahkan 159 orang sudah diberkas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.