Erdogan sah menang Pilihan Raya Presiden
Presiden Recep Tayyip Erdogan yang menguasai politik Turki selama 15 tahun mengumumkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden dan parlimen yang berlangsung semalam (24 Jun).
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: Aris Messinis/ AFP)
ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan yang menguasai politik Turki selama 15 tahun mengumumkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden dan parlimen yang berlangsung semalam (24 Jun). Parti pembangkang bagaimanapun mengadu tentang salah laku dalam kiraan undi bagi pilihan raya yang dianggap paling penting di Turki selama berdekad itu.
Para pengundi Turki buat pertama kalinya mengundi bagi kedua-dua presiden dan parlimen dalam pilihan raya kilat di mana Presiden Erdogan menjangkakan sokongan majoriti bagi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), pimpinannya.
Pemenang dalam pilihan raya tersebut akan memperoleh kuasa eksekutif penuh di bawah perubahan perlembagaan disokong kuat Presiden Erdogan dan diluluskan April tahun lalu. Namun, pihak pembangkang bimbang ia memberi kuasa penuh kepada presiden.
Menurut keputusan awal, Presiden Erdogan mengalahkan pesaing utamanya, Encik Muharrem Ince dengan meraih lebih separuh undi rakyat, tanpa perlu pusingan kedua.
Beliau menang 52.5 peratus undi sementara Encik Ince, dari Parti Rakyat Republican (CHP) menang 31 peratus undi, lapor agensi berita Anadolu, selepas 98 peratus undi dikira.
Presiden Erdogan juga mengisytiharkan menang dalam pilihan raya parlimen. Beliau mengumumkan bahawa perikatan yang dipimpin AKP bersama Parti Gerakan Nasionalis (MHP) menang undi majoriti dalam parlimen.
Setelah lebih 97 peratus undi dikira, parti AKP pimpinannya dan MHP masing-masing menang 293 dan 49 kerusi di parlimen. Ia dengan mudah mendapat majoriti dalam 600 kerusi dewan parlimen.
Parti Demokratik Rakyat (HDP) mendapat 11.5 peratus untuk menang 67 kerusi sebagai parti pembangkang kedua.
Kemenangannya satu pencapaian luar biasa memandangkan ahli politik Demirtas berkempen dari dalam penjara bagi HDP. Encik Demirtas ditahan pada November 2016 atas dakwaan berkaitan dengan militan-militan Kurdish.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.