Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Erdogan kutuk serangan Israel ke atas Lubnan; gesa PBB jangan 'bazirkan masa'

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa (1 Okt) mengutuk operasi darat Israel di Lubnan dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain untuk menghentikan Israel tanpa "membazirkan masa lagi".

Anggaran Waktu Membaca:
ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa (1 Okt) mengutuk operasi darat Israel di Lubnan dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain untuk menghentikan Israel tanpa "membazirkan masa lagi".

“Apa pun ia lakukan, Israel lambat-laun akan dihentikan,” kata Encik Erdogan kepada Parlimen Turki pada pembukaan tahun perundangannya.

“Semua pertubuhan negara dan antarabangsa, khususnya PBB, mesti menghentikan Israel tanpa membuang masa lagi,” katanya.

Tentera Israel menyatakan bahawa ia melancarkan serangan darat di Lubnan dan tenteranya terlibat dalam pertempuran pada Selasa, meningkatkan lagi konflik selepas seminggu serangan udara sengit dilancarkan yang mengorbankan beratus-ratus nyawa.

Encik Erdogan berkata "keganasan dan pembunuhan beramai-ramai" yang dilakukan Israel di Gaza sudah merebak ke Lubnan dan memberi amaran jika tidak dihentikan, Israel akan mengalihkan tumpuannya ke arah Turki.

"Saya secara terbuka mengatakan bahawa kepimpinan Israel, bertindak secara fanatik semata-mata, dan ia akan mengalihkan tumpuannya ke arah tanah air kita selepas Palestin dan Lubnan," kata Encik Erdogan, sekali lagi membandingkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Adolf Hitler.

"Sama seperti Hitler, yang melihat dirinya dalam cermin gergasi, mesti dihentikan, Netanyahu akan dihentikan dengan cara yang sama," katanya.

Kementerian Luar Turki menyatakan ia telah merangka rancangan luar jangka untuk memindahkan warganya dari Lubnan kerana "keadaan keselamatan mungkin akan semakin meruncing".

"Dengan penyelarasan bersama institusi-institusi relevan, pelan alternatif telah disediakan untuk memindahkan rakyat kita melalui laut atau udara dari Lubnan," dedah kementerian itu.

Turki dianggarkan mempunyai 14,000 rakyat yang berdaftar dengan konsulatnya di Lubnan.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa garis panduan untuk memindahkan warga negara ketiga melalui Turki juga telah ditentukan, sambil menambah bahawa persiapan yang diperlukan sedang dijalankan dengan kerjasama hampir 20 negara yang telah meminta sokongan Turki.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan