Erdogan gesa Putin isytihar gencatan senjata; berdamai dengan Ukraine
Gambar fail Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (Gambar: Adem ALTAN/AFP)
ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin supaya mengisytiharkan gencatan senjata di Ukraine, di samping membuka koridor kemanusiaan dan menandatangani perjanjian damai, menurut pejabatnya.
Sebagai anggota NATO, Turki berkongsi sempadan maritim dengan Rusia dan Ukraine di Laut Hitam dan mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara itu.
Ankara telah menyifatkan pencerobohan Rusia sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan menawarkan untuk menganjurkan rundingan tetapi ia menentang sekatan terhadap Moscow.
Dalam kenyataannya selepas mengadakan panggilan telefon selama sejam pada Ahad (6 Mac), Presiden Erdogan memberitahu Putin bahawa Turki bersedia untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik secara aman.
"Presiden Erdogan, yang berkata gencatan senjata serta-merta bukan sahaja akan meredakan kebimbangan kemanusiaan di rantau itu tetapi juga memberi peluang untuk mencari penyelesaian politik, memperbaharui gesaannya untuk membuka jalan bagi kedamaian bersama," menurut pejabatnya.
"Erdogan menekankan kepentingan mengambil langkah segera untuk mencapai gencatan senjata, membuka koridor kemanusiaan dan menandatangani perjanjian damai."
Menurut Kremlin, Putin memberitahu Erdogan bahawa Rusia hanya akan menghentikan operasi ketenteraannya jika Ukraine berhenti berperang dan jika tuntutan Moscow dipenuhi, sambil menambah operasi itu akan diteruskan sebagaimana dirancang.
Rusia menyifatkan serangannya itu sebagai "operasi ketenteraan khas". Ia telah menyebabkan lebih 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan konflik itu sebagai krisis pelarian yang paling pesat berkembang di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Sungguhpun demikian, Turki tidak mengharapkan sebarang hasil daripada rundingan Ukraine-Rusia semasa pertempuran masih berterusan.
Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar kemudian bercakap dengan rakan sejawatannya dari Ukraine Oleksii Reznikov melalui telefon dan memberitahunya bahawa gencatan senjata walaupun untuk masa yang terhad amat diperlukan untuk memindahkan orang awam dan menghantar bantuan kecemasan.
Kementerian Pertahanan Turki juga menyatakan bahawa Akar telah menyampaikan jangkaan Turki bagi menjamin keselamatan warga Turki yang belum atau sedang dipindahkan.
Erdogan, yang menggelar Putin sebagai "kawan" kali terakhir bercakap dengan pemimpin Rusia itu pada 23 Februari, sehari sebelum Rusia melancarkan pencerobohannya.
Seruan itu menjadikan Erdogan pemimpin ketiga NATO yang bercakap dengan Putin selepas pemimpin Jerman dan Perancis melakukan perkara yang sama.
Walaupun menjalin hubungan rapat dengan Rusia dalam bidang pertahanan, perdagangan dan tenaga, serta menjadi tuan rumah kepada berjuta-juta pelancong Rusia setiap tahun, Turki juga menjual dron kepada Ukraine.
Ini menimbulkan kemarahan Moscow dan Turki juga menentang dasar Rusia di Syria dan Libya serta pengilhakan Crimea pada 2014.
Menurut Turki, pihaknya mahu mempertemukan menteri luar dari Ukraine dan Rusia untuk berbincang di forum diplomasi minggu depan di selatan Turki.
Kedua-dua negara telah mengalu-alukan tawaran itu tetapi belum jelas sama ada kedua-dua negara akan dapat menghadirinya ataupun tidak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.