Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas mendarat di Denver

Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas ia melakukan lencongan untuk mendarat di Denver pada Khamis (13 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas mendarat di Denver

Para penumpang berdiri di atas sayap pesawat sementara menunggu untuk diselamatkan. (Gambar: AFP/Branden Williams)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 01:12PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 01:13PM
WASHINGTON: Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas ia melakukan lencongan untuk mendarat di Denver pada Khamis (13 Mac). Kejadian tersebut memaksa penumpang dipindah keluar menggunakan gelongsor kecemasan, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa kesemua 172 penumpang dan enam anak kapal dapat dikeluarkan dari pesawat. Namun, enam penumpang kemudian dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan lanjut.

Penerbangan 1006 American Airlines dari Colorado Springs yang menggunakan pesawat Boeing 737-800 mendarat di Denver sekitar pukul 5.15 petang waktu tempatan, selepas melencong dari destinasi asalnya di Dallas selepas anak kapal melaporkan getaran pada enjin, menurut FAA.

Di media sosial, beberapa video mendebarkan berhubung penerbangan tersebut telah dimuat naik.

Video-video itu menunjukkan detik di mana para penumpang berdiri di atas sayap pesawat sebelum diselamatkan sedang asap tebal keluar dari enjin pesawat.

American Airlines menyatakan bahawa pesawat itu telah mendarat dengan selamat dan sedang digerakkan ke pintu terminal sebelum ia mengalami "isu berkaitan enjin".

Pesawat itu, yang berusia 13 tahun, menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24, dilengkapi dengan dua enjin CFM56 yang dihasilkan CFM International, iaitu sebuah usaha sama antara GE dan Safran.

FAA menyatakan pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Denver berkata kebakaran telah dipadamkan dan operasi penerbangan diteruskan seperti biasa.

Boeing enggan mengulas dan merujukkan pertanyaan kepada American Airlines dan pihak penyiasat. GE pula tidak segera memberikan respons kepada permintaan untuk memberi komen.

Kebakaran enjin itu merupakan kejadian terbaharu dalam siri kemalangan penerbangan berprofil tinggi yang menimbulkan persoalan tentang keselamatan penerbangan di Amerika Syarikat, termasuk perlanggaran udara pada 29 Januari antara pesawat American Airlines dan helikopter tentera yang meragut 67 nyawa.

Bulan lalu, pesawat Delta Air Lines terbalik ketika mendarat di Lapangan Terbang Pearson Toronto, Kanada, dalam keadaan berangin selepas ribut salji.

Walaupun kesemua penumpang dan pegawai terselamat, kejadian itu mencederakan 18 daripada 80 orang di dalam pesawat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines Robert Isom dan Ketua Pegawai Eksekutif Delta Ed Bastian pada Selasa menyebut nahas udara baru-baru ini dan keadaan cuaca sebagai faktor yang menyumbang kepada penyusutan permintaan pelancongan di Amerika, di samping ekonomi yang semakin tidak menentu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan