Enam penyelam bomba M’sia lemas semasa misi menyelamat, terperangkap pusaran air
Enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

6 penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat M'sia maut dalam satu misi mencari dan menyelamat (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Pengarah JPBM Selangor Azmi Osman berkata tragedi itu adalah yang pertama dalam sejarah jabatan berkenaan melibatkan sekumpulan anggota terkorban pada satu masa.
Beliau berkata kesemua pegawai tersebut berjaya dinaikkan ke darat sebelum pasukan perubatan yang berada di lokasi membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk menyelamatkan mereka tetapi gagal.
“Kesemua enam pegawai bomba disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama Rabu malam (3 Okt).
Katanya dua anggota terbabit adalah daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan empat lagi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Encik Azmi bagaimanapun berkata remaja yang terjatuh ke dalam lombong berkenaan masih belum dijumpai.
Terdahulu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama dua lagi rakannya.
Komander Operasi JBPM daripada Balai Bomba Cyberjaya, Roslan Long, sebelum ini dilaporkan berkata kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sedang melakukan persiapan untuk memancing apabila mangsa remaja lelaki itu terjatuh ke dalam lombong tersebut.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum lapan pegawai dan anggota sampai di lokasi 30 minit kemudian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.