Empat suspek ditahan; pukul warga emas sehingga maut
Dalam kejadian Rabu lepas, polis menerima maklumat terdapat kes tangkapan seorang lelaki warga emas disyaki mencuri kelapa sawit di Batu 10 Lekir, Sitiawan.

Gambar hiasan.
LUMUT: Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang lelaki warga emas sehingga meninggal dunia kerana disyaki mencuri buah kelapa sawit di Lekir, Sitiawan, semalam (22 Jul).
Noorbek Siron, 67 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 8.00 malam, kelmarin di Hospital Seri Manjung selepas tiga hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah dibelasah pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan kira-kira jam 6.00 petang semalam, di Jalan Pinang Raja, Seri Manjung, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian bagi membantu siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan memukul sekiranya terdapat kejadian sebegini kerana kesannya boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini (23 Jul).
Dalam kejadian Rabu lepas, polis menerima maklumat terdapat kes tangkapan seorang lelaki warga emas disyaki mencuri kelapa sawit di Batu 10 Lekir, Sitiawan.
"Ketika diserahkan kepada polis Rabu lepas, warga emas itu dalam keadaan cedera dan dia dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan," katanya.
ACP Muhammad Hanif berkata kira-kira jam 11.00 pagi semalam, beliau dimaklumkan mengenai kematian mangsa, dipercayai hasil bedah siasat menunjukkan ia berpunca daripada kecederaan pada tisu lembut susulan trauma tumpul dan pendarahan otak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.