Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Empat beranak terkorban dalam nahas tujuh kenderaan di Perak, pemandu treler ditahan

Anggaran Waktu Membaca:

BUKIT MERTAJAM: "Sedih, sebab sekali pi (pergi) bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi empat terus hingga saya hilang kata-kata," rintih Muhamad Hazman Rahim.

Muhamad Hazman, 20 tahun, adalah anak bongsu kepada pasangan Rahim Ramli, 60 tahun, dan Siti Petimah Omar, 59 tahun yang terkorban dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ipoh, Perak pada petang Rabu (13 Jul), seperti dinukil Harian Metro. 

Turut meninggal dunia, dua kakaknya, Nor Hadirah Rahim, 28 tahun, dan Nor Hamizah Rahim, 27 tahun, selepas kesemua mereka yang menaiki Proton Persona parah dalam nahas berkenaan.

Muhamad Hazman berkata, dia yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Perlis dihubungi seorang lagi kakaknya, Nor Fatini, 22 tahun, yang memaklumkan kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka.

"Pada ketika itu, saya tengah buat kerja yang kemudian kakak (Nor Fatini) sambil menangis memberitahu bahawa mak dan ayah serta dua lagi kakak kami sudah tidak ada (meninggal dunia).

"Baru semalam sahaja saya salam, cium tangan mak, ayah sebelum balik ke Perlis dan maklumkan saya akan balik berjumpa mereka lagi yang kedua-duanya dilihat senyum sahaja, tetapi hari ini mereka dah tiada sampai saya tak tahu nak cakap macam mana.

"Mak ayah serta dua kakak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana semua rutin yang kami jalani seperti biasa sahaja hingga saya tidak jangka mereka pergi dalam keadaan amat mengejut," katanya kepada wartawan Harian Metro selepas upacara pengebumian ibu bapa serta dua kakaknya awal pagi Khamis (14 Jul). 

Terdahulu, semua jenazah yang dibawa menaiki van berlepas dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira 11.30 malam Rabu (13 Jul) dan tiba di masjid berkenaan dua jam selepas itu.

Suasana pilu menyelubungi lokasi pengebumian empat beranak berkenaan sebaik jenazah tiba untuk dikebumikan.

Keempat-keempat jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi.

Dalam pada itu, pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan tersebut didapati mempunyai 13 rekod kesalahan trafik, lapor Bernama. 

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu berusia 34 tahun itu mempunyai saman trafik sejak 2008 sehingga tahun lepas, termasuk tiga daripada saman tersebut adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Polis telah menahan pemandu treler dan akan direman hari ini (14 Jul) bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut tidak memandu di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan pada Julai (14 Jul). 

Encik Mior berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada Rabu pukul 2.45 petang (13 Jul) dan hasil siasatan mendapati sebuah lori treler tanpa muatan yang dipandu lelaki itu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang.

"Akibat daripada rempuhan tersebut, treler dan kereta itu telah menggelongsor ke hadapan lalu melanggar lima buah kenderaan lain yang turut mengalami kerosakan teruk namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Muhamad Hazman turut berkata, ibu bapanya dalam perjalanan menghantar kakak sulungnya, Nor Hadirah ke Kuala Lumpur untuk melapor diri di tempat kerja selepas sekian lama bercuti.

"Ia memang menjadi kebiasaan ayah hantar kakak ke sana.. Sebelum ini kakak pernah kerja di sana sebelum syarikatnya ditutup dan dia pulang bercuti.

"Apabila syarikatnya dibuka semula, ayah dan mak ditemani seorang lagi kakak (Nor Hamizah) mahu menghantar semula kakak saya, Nor Hadirah tetapi siapa sangka berlaku kejadian seperti ini.

"Semasa cuti baru-baru ini, saya sempat bawa dua kakak saya pergi jalan-jalan, ziarah sanak saudara dan beraya yang ia menjadi aktiviti biasa yang kami sekeluarga lakukan ," katanya, seperti dipetik Harian Metro. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan