Empangan runtuh di Laos: Pasukan penyelamat bertungkus lumus cari mangsa
Para penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat susulan tragedi empangan hidroelektrik yang dalam pembinaan runtuh di tenggara Laos pada Isnin (23 Jul).

Orang-orang kampung dipindahkam selepas empangan hidroelektrik runtuh di Attapeu, Laos. (Gambar: Stringer/Reuters)
BANGKOK: Para penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat susulan tragedi empangan hidroelektrik yang dalam pembinaan runtuh di tenggara Laos pada Isnin (23 Jul).
Media negara itu menunjukkan gambar-gambar orang kampung, ada yang bersama kanak-kanak kecil, terkandas di bumbung rumah yang ditenggelami air. Gambar-gambar lain menunjukkan para penduduk cuba menaiki bot kayu untuk ke tempat selamat di wilayah Attapeu.
Seorang pegawai kanan pemerintah, yang enggan namanya didedahkan berkata puluhan orang dikhuatiri terbunuh manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang.
"Kami akan meneruskan usaha menyelamat hari ini tetapi keadaannya amat sukar. Puluhan orang sudah mati. Mungkin jumlahnya lebih tinggi," kata pegawai berpangkalan di Vientiane itu menerusi telefon.
Negara Asia Tenggara yang terpencil itu mempunyai skim pembinaan empangan besar-besaran untuk menjadi 'bateri bagi Asia'.
Pemerintah Laos bergantung hampir sepenuhnya pada pemaju luar negara untuk membina portfolio empangan yang dirancang, di bawah konsesi perdagangan untuk mengeksport sebahagian tenaga hidroelektriknya ke negara-negara jiran yang lebih maju, termasuk Thailand.
Kumpulan-kumpulan mesra alam berulang kali memberi amaran mengenai kesan projek itu terhadap alam sekitar termasuk pencemaran kepada ekosistem rangkaian sungai yang luas di negara itu.
Kemalangan kelmarin, melibatkan sebuah empangan hidroelektrik di daerah Sanamxay, wilayah Attapeu. Bencana itu menyebabkan lima bilion kubik meter air atau anggaran lebih dua juta kolam renang saiz Olimpik, melimpah keluar.
Ia adalah sebahagian daripada projek syarikat berpangkalan di Vientiane, Xe-Pian Xe-Namnoy, yang melibatkan firma-firma Laos, Thailand dan Korea. Empangan yang runtuh ialah empangan sampingan dikenali sebagai Saddle Dam D. Ia adalah sebahagian daripada rangkaian dua empangan utama dan lima empangan sampingan.
Syarikat Korea Selatan, SK Engineering & Construction menyatakan bahawa sebahagian daripada empangan itu dihanyutkan air dan syarikat tersebut bekerjasama dengan pemerintah Laos untuk membantu menyelamatkan orang-orang kampung yang tinggal berdekatan dengan tapak itu.
Seorang pegawai dari firma itu berkata keretakan di empangan berkenaan kali pertama dikesan pada Ahad dan syarikat tersebut mengarahkan pemindahan penduduk di 12 kampung.
Empangan berkapasiti 410 megawatt itu sepatutnya memulakan operasi secara komersil menjelang tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.