Skip to main content

Dunia

‘Emas hijau’ Indonesia ubah kehidupan petani, sasar pasaran baharu

Rumpai laut adalah salah satu daripada komoditi utama Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Emas hijau’ Indonesia ubah kehidupan petani, sasar pasaran baharu

Rumpai laut merupakan salah satu daripada komoditi utama Indonesia. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 10:18PM
SULAWESI SELATAN: Rumpai laut adalah salah satu daripada komoditi utama Indonesia.

Industri yang berkembang maju itu sudah merubah kehidupan ramai petani kecil-kecilan, dan pihak berkuasa kini mahu melakukan lebih lagi daripada sekadar mengeksport rumpai laut mentah.

SARA KEHIDUPAN MENERUSI HASIL LAUT

Apabila tiba musim menuai, Salmawati, 37 tahun, ke laut setiap hari untuk mengambil rumpai laut.

Beliau merupakan antara yang beruntung kerana mendapat tapak semaian rumpai laut yang terletak hanya 50 meter dari pantai.

Cik Salmawati adalah antara 3,000 penduduk di kampung Punaga di Sulawesi Selatan yang kehidupannya cukup bergantung kepada hasil laut.

"Tahun 2000, bapak itu kan petani juga, petani rumput laut juga. Tapi harga dulu itu masih sangat murah dibanding sekarang. Makanya petani di sini rata-rata pekerjaan rumput laut. Kerana apa? Perekonomiannya sangat berubah," kata Ketua, Koperasi Petani Rumpai Laut Bina Mandiri, Kampung Punaga, Salmawati.

Hakikatnya, pekerjaan menanam rumpai laut sudah merubah kehidupan ramai orang di kampung tersebut.

"Masyarakat sebelum ini masih mempunyai rumah-rumah yang usang. Tetapi dengan adanya budidaya rumput laut ini yang begitu luar biasa, Alhamdulillah, ramai masyarakat kami yang sudah mempunyai rumah yang begitu indah, bagus, sudah kekal rumah batu, malah ada beberapa yang sudah dapat membeli kenderaan roda empat. Ada yang membeli kereta dan itu ramai, sudah puluhan," kata Ketua Kampung Punaga, Sulawesi Selatan, M Syarifuddin Sore.

MUSIM DAN HASIL RUMPAI LAUT

Pada musim yang baik, 10 kilogram benih rumpai laut boleh menghasilkan sehingga 70 kilogram rumpai laut.

Bagaimanapun jika musimnya kurang baik, hanya tiga kilogram rumpai laut dapat dituai.

Untuk menanam rupai laut, benihnya diikat pada tali dan diapungkan oleh boya.

Cara tersebut menghasilkan ladang rumpai yang memanfaatkan sepenuhnya ruang perairan.

Pada 2024, Indonesia menghasilkan 10.8 juta tan rumpai laut, dengan lebih 4 juta tan datang dari Sulawesi Selatan.

Selaku orang tengah, N Sijaya menghubungkan pengeluar kecil kepada pasaran lebih besar dan pihak industri.

Beliau juga membekalkan para petani kecil-kecilan dengan dana untuk membeli benih rumpai.

Benih rumpai laut berharga 30 sen (S$0.38) sekilo dengan harga rumpai pula adalah AS$1.30 (S$1.66) sekilo.

Walaupun bekalannya banyak, harga rumpai laut tidak stabil dan bergantung kepada permintaan global.

"Tiga tahun yang lalu itu, kata bos, ada tujuh negara yang minta, dan itu pun pengirimannya langsung ke luar. Kalau sekarang, hanya China," kata beliau.

'EMAS HIJAU'

Sering dirujuk sebagai "emas hijau", rumpai laut merupakan salah satu komoditi utama Indonesia, dengan China sebagai pasaran eksport terbesarnya selama lebih sedekad.

"Yang paling dominan itu adalah ke Tiongkok, ke China. Ke Tiongkok itu, terutama untuk jenis rumput laut yang mentah, dalam bentuk kering," Ketua, Agensi Kelautan & Perikanan Sulawesi Selatan, M Ilyas.

Misalnya, gudang tempatan yang dikunjungi Mediacorp mengeksport pelbagai jenis rumpai laut kering ke Vietnam, Filipina, Chile dan Sepanyol. Namun, 90 peratus daripada stoknya dihantar ke China.

"Sebenarnya cabaran terbesar yang bagi kami itu sebenarnya dari masalah harga. Sebab kalau rumput laut itu turun naik di harganya. Kemudian bahan baku yang memang bermutu.

"Jadi kadangkala kita perlu bahan baku yang bermutu tinggi supaya kos kita tidak bertambah untuk memprosesnya lagi. Jadi itu yang masih cabarannya. Kemudian untuk dari segi penjualan. Memang saat ini kita ingin berharap, bukan China sahaja yang kita bekalkan," kata Pengurus Operasi, Asia Sejahtera Mina, Triwiyanti.

PELBAGAIKAN PASARAN

Di kilang tempat Cik Triwiyanti bertugas, usaha tertumpu kepada mempelbagaikan pasaran.

Mereka kerap menghantar rumpai laut ke Chile dan Sepanyol, dan kini sedang meneroka pasaran Britain.

Menjual kepada pelbagai negara juga membantu perniagaan tersebut mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan kebergantungan berlebihan kepada sesuatu pasaran.

"Harga ke China dengan ke Eropah tentunya berbeza. Eropah mungkin lebih sedikit menarik dibandingkan China kerana memang kami tahu betul kalau di China, banyak kilang yang sejenis, tentunya harga bersaing juga," kata Pengarah, Giwang Citra Laut, Ronny Djaya Tunggal.

Sementara itu, usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kemampanan, dengan matlamat melampaui eksport mentah dan membina sektor rumpai laut yang bersepadu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita