Elon Musk umum tubuh parti politik baharu di Amerika

Elon Musk semasa berucap di sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Rumah Putih, Washington, DC pada 30 Mei 2025. (Gambar: Reuters/Nathan Howard)
Orang terkaya di dunia - dan penderma politik terbesar Encik Trump bagi Pilihan Raya Presiden pada 2024 - bertelagah dengan Encik Trump selepas menarajui usaha Republican untuk mengurangkan perbelanjaan dan memotong pekerjaan persekutuan sebagai ketua Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE).
Encik Musk telah bertikai dengan Encik Trump berhubung pelan perbelanjaan domestik, yang menurutnya akan meningkatkan hutang Amerika dan berikrar akan melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk menumbangkan penggubal undang-undang yang menyokongnya.
Encik Musk telah menubuhkan America Party, rangka kerja politiknya sendiri, untuk cuba mencapai matlamat itu.
"Apabila ia memufliskan negara kita dengan pembaziran dan rasuah, kita hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi," menurut catatan bos Space X dan Tesla itu di X, platform media sosial yang dimilikinya.
"Hari ini, America Party ditubuhkan untuk mengembalikan kebebasan anda."
Encik Musk turut memetik tinjauan pendapat - dimuat naik pada Jumaat (4 Jul), iaitu Hari Kemerdekaan Amerika - di mana beliau bertanya sama ada responden "mahukan kemerdekaan daripada sistem dua parti" yang telah menguasai politik Amerika selama kira-kira dua abad.
Tinjauan ya-atau-tidak itu memperoleh lebih 1.2 juta respons.
"Dengan faktor 2 berbanding 1, anda mahukan parti politik baharu dan anda akan memilikinya!," menurut catatan beliau pada Sabtu (5 Jul).
Encik Musk juga berkongsi meme yang menggambarkan ular berkepala dua dengan kapsyen "End the Uniparty".
Ditanya pada X apakah satu perkara yang membuatkan beliau beralih daripada menyokong Encik Trump kepada menyerangnya, Encik Musk berkata: "Meningkatkan defisit daripada AS$2 trilion yang sudah gila di bawah Biden kepada AS$2.5 trilion. Ini akan memufliskan negara ini."
Tiada komen daripada Encik Trump atau Rumah Putih mengenai pengumuman Encik Musk.
Namun tidak jelas sejauh mana kesan parti baharu itu pada pilihan raya pertengahan penggal 2026, atau pada pilihan raya presiden dua tahun selepas itu.
Pertelingkahan Trump-Musk berbangkit semula secara dramatik lewat bulan lalu apabila Encik Trump menggesa para anggota Republican di Kongres untuk menyokong agenda domestiknya yang besar dalam bentuk "One Big Beautiful Bill".
Encik Musk menyuarakan bantahan hebat terhadap rang undang-undang itu, dan mengkritik penyokong Republican kerana menyokong pakej tersebut.
Beliau ketika itu juga berikrar akan melancarkan sebuah parti politik baharu untuk mencabar penggubal undang-undang yang berkempen untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan tetapi kemudian menyokong rang undang-undang itu, yang menurut para pakar, akan menambah AS$3.4 trilion dalam tempoh sedekad kepada defisit Amerika.
Selepas Encik Musk mengkritik hebat rang undang-undang perbelanjaan utama itu - yang akhirnya diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani menjadi undang-undang - Encik Trump mengancam akan mengusir taikun teknologi itu dan melucutkan dana persekutuan daripada perniagaannya.
"Kita perlu lihat," kata Encik Trump kepada para wartawan apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk mengusir Encik Musk, yang dilahirkan di Afrika Selatan dan telah memegang kerakyatan Amerika sejak 2002.
Kesemua 435 kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan setiap dua tahun, manakala kira-kira satu pertiga daripada 100 anggota Senat, yang berkhidmat selama enam tahun, dipilih setiap dua tahun.
Sesetengah pemerhati dengan pantas merujuk kepada bagaimana kempen parti ketiga berdasarkan sejarah telah memecahkan undi - seperti yang dilakukan oleh ahli perniagaan Ross Perot sebagai calon bebas pada tahun 1992 apabila tindakannya itu menjejas usaha George HW Bush dipilih semula sebagai presiden yang membawa kepada kemenangan calon Democrat, Bill Clinton.
Pertelingkahan dengan Encik Trump, yang kerap digambarkan sebagai antara orang terkaya di dunia dan yang paling berkuasa di dunia, telah menyebabkan kejatuhan mendadak pada harga saham Tesla.
Saham itu melonjak selepas pemilihan semula Encik Trump pada November dan mencecah paras tertinggi lebih AS$488 pada Disember, sebelum kehilangan lebih separuh daripada nilainya pada April dan ditutup minggu lalu pada harga AS$315.35.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.