Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Elon Musk, Menteri Kesihatan Indonesia lancar khidmat internet Starlink bagi sektor kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:

DENPASAR: Elon Musk dan Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin melancarkan khidmat internet satelit SpaceX bagi sektor kesihatan negara tersebut pada Ahad (19 Mei), bertujuan untuk memperbaiki akses di kawasan terpencil.

Encik Musk, ketua SpaceX dan Tesla, tiba di Bali sebelum menghadiri acara perasmian di sebuah pusat kesihatan masyarakat di ibu kota Denpasar.

Beliau berkata dengan adanya khidmat Starlink di Indonesia, ia akan membantu berjuta orang di kawasan terpencil untuk mendapatkan akses kepada internet.

Starlink dilancarkan di tiga pusat kesihatan Indonesia pada Ahad, termasuk dua di Bali dan satu lagi di pulau Aru, Maluku.

Video yang ditayangkan pada acara itu menunjukkan bagaimana kelajuan internet yang tinggi membolehkan input data masa nyata untuk menangani cabaran kesihatan dengan lebih baik, seperti pembangunan anak-anak yang terbantut dan kekurangan zat makanan.

Ketika ditanya sama ada beliau merancang untuk melabur dalam industri kenderaan elektrik Indonesia, Encik Musk berkata beliau tertumpu kepada Starlink.


Pemerintah Indonesia sudah berusaha selama beberapa tahun untuk menarik syarikat Tesla Encik Musk agar membina kilang berkaitan kenderaan elektrik, sedang pemerintah cuba membangunkan sektor kenderaan elektrik menggunakan sumber nikelnya yang banyak.

Hartawan teknologi itu dijadualkan bertemu dengan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Isnin (20 Mei), di mana beliau akan bercakap di Forum Air Sedunia yang akan diadakan di Bali.

Menteri Komunikasi Indonesia Budi Arie Setiadi, yang juga menghadiri acara pelancaran itu, berkata bahawa Starlink boleh didapati secara komersil, tetapi pemerintah akan menumpukan khidmatnya untuk kawasan lebih jauh dan kurang membangun terlebih dahulu.

Indonesia adalah negara ketiga di Asia Tenggara di mana Starlink beroperasi. Malaysia mengeluarkan lesen kepada syarikat tersebut untuk menyediakan perkhidmatan internet tahun lalu. Sebuah syarikat berpangkalan di Filipina juga menandatangani perjanjian bersama SpaceX pada 2022.

Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan