Skip to main content

Dunia

Elon Musk dinobat terkaya di dunia bagi 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Elon Musk dinobat terkaya di dunia bagi 2025

Gambar fail CEO Twitter, yang kini dikenali sebagai X Corp, dan Tesla Elon Musk. (Gambar fail: AP/Michel Euler, Pool)

Diterbitkan : 02 Apr 2025 07:15AM Dikemas Kini : 02 Apr 2025 10:40AM
  • Usahawan teknologi dan hartawan Amerika Syarikat, Elon Musk, menggantikan taikun barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, sebagai individu terkaya dunia bagi 2025, menurut senarai tahunan terbaharu Forbes yang diterbitkan pada Selasa (1 Apr), lapor Sputnik/RIA Novosti.
  • Kekayaan bersih Encik Musk dianggarkan berjumlah AS$342 bilion (S$460 bilion).
  • Pengasas Meta, Mark Zuckerberg, berada di kedudukan kedua selepas menambah AS$39 bilion (S$52 bilion) kepada kekayaannya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$216 bilion (S$290 bilion) kata Forbes.
  • Forbes melaporkan jumlah bilionair, global meningkat sebanyak 247 orang kepada 3,028, melepasi angka 3,000 buat kali pertama.
Dijana oleh AI
MOSKO: Usahawan teknologi dan hartawan Amerika Syarikat, Elon Musk, menggantikan taikun barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, sebagai individu terkaya dunia bagi 2025, menurut senarai tahunan terbaharu Forbes yang diterbitkan pada Selasa (1 Apr), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kekayaan bersih Encik Musk dianggarkan berjumlah AS$342 bilion (S$460 bilion). Beliau pertama kali menduduki tempat teratas pada 2022 sebelum kehilangan kedudukan itu pada 2023. Pada 2024, Encik Musk meningkatkan kekayaannya sebanyak AS$147 bilion (S$198 bilion) - pertambahan 1.75 kali ganda dalam tempoh setahun, menurut anggaran Forbes.

Pengasas Meta, Mark Zuckerberg, berada di kedudukan kedua selepas menambah AS$39 bilion (S$52 bilion) kepada kekayaannya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$216 bilion (S$290 bilion) kata Forbes.

Pengasas peruncit online Amazon, Jeff Bezos, mengekalkan tempat ketiga dengan kekayaan dianggarkan AS$215 bilion (S$289 bilion) selepas memperoleh tambahan AS$21 bilion (S$29 bilion) pada 2024, menurut data Forbes.

Kedudukan keempat dipegang oleh pengasas bersama gergasi perisian Oracle, Larry Ellison, dengan kekayaan bernilai AS$192 bilion (S$258 bilion).

Sementara itu, Encik Arnault, yang mengetuai konglomerat Moet Hennessy Louis Vuitton (LVMH), serta keluarganya menduduki tempat kelima dengan anggaran kekayaan AS$178 bilion (S$239 bilion).

Forbes melaporkan jumlah bilionair, global meningkat sebanyak 247 orang kepada 3,028, melepasi angka 3,000 buat kali pertama. Keseluruhan kekayaan mereka dianggarkan berjumlah AS$16.1 trilion (S$22 trilion) - peningkatan AS$2 trilion (S$83 trilion) berbanding 2024.

Purata kekayaan bilionair dalam senarai turut meningkat sebanyak AS$200 juta (S$269 juta) kepada AS$5.3 bilion (S$7.1 juta). Amerika Syarikat mempunyai 902 bilionair, diikuti China (termasuk Hong Kong) dengan 516, dan India sebanyak 205, menjadikan lebih separuh daripada individu dalam senarai itu adalah warga tiga negara berkenaan.
Sumber : Bernama/Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita