Elon Musk ancam eksekutif Tesla, kembali ke pejabat atau dipecat

(Gambar: Ryan Lash/TED Conferences, LLC/AFP)
WASHINGTON: Elon Musk dipercayai membuat ugutan untuk menyingkirkan pegawai eksekutif Tesla Inc jika mereka tidak kembali bekerja di pejabat sekurang-kurangnya 40 jam seminggu.
Demikian menurut Sputnik, yang menukil laporan Bloomberg pada Rabu (1 Jun).
Encik Musk mengirimkan emel kepada eksekutif-eksekutif syarikat tersebut pada Selasa (31 Mei) yang bertajuk "Kerja secara berasingan tidak lagi boleh diterima," di mana beliau dengan jelas menyatakan beliau akan memecat mereka yang meneruskan rutin bekerja dari rumah, menurut laporan tersebut.
"Sesiapa yang ingin bekerja secara berasingan harus berada di pejabat sekurang-kurangnya (dan saya ulangi lagi 'minimum') 40 jam seminggu atau tinggalkan Tesla. Tempoh itu lebih singkat berbanding yang kami tuntut daripada pekerja kilang," lapor Bloomberg, memetik emel Encik Musk.
Pada masa yang sama, Encik Musk memberi arahan bahawa eksekutif Tesla perlu kembali ke pejabat utama Tesla dan bukan pejabat cawangan berasingan yang tiada hubung kait dengan tugas mereka, menurut laporan tersebut lagi.
Pandemik COVID-19 menimbulkan situasi di merata dunia di mana pekerja kebanyakan syarikat mula bekerja dari rumah agar dapat mencegah jangkitan virus tersebut. Namun, sedang sekatan COVID-19 dilonggarkan, jelas bahawa sebilangan besar pekerja pejabat tidak mahu kembali bekerja di pejabat.
Amerika Syarikat sedang menyaksikan kenaikan jumlah kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini dan menggesa sesetengah syarikat supaya mempertimbangkan semula dasar mereka tentang kepulangan pekerja ke pejabat.
Misalnya, Apple menggantung tuntutan yang diumumkan pada Mac bahawa semua pekerja harus kembali ke pejabat mulai 23 Mei untuk sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, disebabkan oleh kenaikan semula jumlah kes jangkitan COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.