Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Elak sentuh, cium & peluk anak kecil ketika beraya bagi cegah jangkitan kuman dan penyakit berjangkit

Anggaran Waktu Membaca:
Elak sentuh, cium & peluk anak kecil ketika beraya bagi cegah jangkitan kuman dan penyakit berjangkit

Seorang kanak-kanak bermain belon selepas solat Hari Raya di Banda Aceh, 22 April 2023. (Gambar: CHAIDEER MAHYUDDIN / AFP)

KUALA LUMPUR: Gelagat dan telatah anak-anak kecil sudah pasti menjadi tumpuan ketika Hari Raya Aidilfitri kerana merekalah yang memeriahkan suasana.

Tidak sah jika mereka tidak dikerumuni, disentuh, dipeluk atau dicium oleh orang dewasa apabila berjumpa.

Namun, tindakan sentuh, peluk, cium anak-anak kecil kadangkala mengundang padah kerana terdapat risiko penyakit yang sukar dijangka datang menghinggap.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi Dr Selva Kumar Sivapunniamda dari Hospital Selayang, Selangor, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kemasukan anak-anak kecil ke hospital semasa musim perayaan.

"Sering kali musim perayaan, kebanyakan anak-anak kecil akan ke Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak pada hari raya kedua dan ketiga.

"Kebanyakan mereka tiba disebabkan jangkitan kuman atau virus seperti selesema, influenza dan jangkitan paru-paru atau pneumonia.

"Faktor kedua pula melibatkan penyakit berkaitan dengan usus seperti cirit-birit dan muntah disebabkan keracunan makanan," katanya kepada Astro Awani dalam temu bual baru-baru ini.

Selain itu, Dr Selva Kumar yang juga Ketua Kepakaran Pediatrik Negeri Selangor berkata, faktor ketiga pula melibatkan kecederaan fizikal.

"Antara kemalangan yang sering menimpa golongan ini seperti jatuh pokok, lemas, dibiarkan dalam kereta sendirian, terkena mercun serta terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.

"Bila ada kumpulan yang ramai berkumpul, wujud risiko untuk mendapat penyakit berjangkit melalui sentuhan, permukaan atau titisan udara," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Selva Kumar menasihati golongan dewasa untuk tidak menyentuh, mencium atau memeluk anak-anak kecil dengan sesuka hati, lapor Astro Awani.

Ini kerana, jelasnya, anak-anak kecil mempunyai sistem imun yang rendah berbanding dewasa dan mudah mendapat penyakit melalui jangkitan.

"Orang dewasa sering ada kuman, virus dan sebagainya, tetapi kita tidak menunjukkan gejala. Anak-anak terutamanya yang mempunyai sistem imun rendah atau penyakit kronik senang mendapat jangkitan kuman," katanya.

Justeru itu, Dr Selva Kumar menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk sentiasa berwaspada sepanjang musim perayaan.

Tambahnya, golongan dewasa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak kecil diutamakan di sebalik keghairahan menyambut Lebaran.

"Bayi yang kurang daripada setahun dan paling penting di bawah tiga bulan sering mendapat jangkitan kuman dan jika terkena, mereka pasti tenat dan perlu masuk hospital.

"Jika kita sayangkan anak, cucu, saudara-mara maka elakkan dulu sentuh, cium, peluk. Biarlah dia besar sedikit dan kalau nak juga, amalkan kebersihan diri sebelum berjumpa anak-anak kecil," katanya, seperti dinukil Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan