Skip to main content

Dunia

El Nino: 37 daripada 49 empangan utama Malaysia masih pada paras normal

Paras air di 37 daripada 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada loji rawatan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan masih berada pada tahap normal ketika negara itu berdepan fenomena El Nino.

Anggaran Waktu Membaca:
El Nino: 37 daripada 49 empangan utama Malaysia masih pada paras normal

Fenomena El Nino yang membawa keadaan lebih panas dan kering boleh meningkatkan risiko kekurangan sumber air. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 07:28PM
  • SPAN melaporkan 37 daripada 49 empangan utama di Semenanjung Malaysia dan Labuan masih pada tahap normal walaupun negara berdepan fenomena El Nino.
  • Empangan Jus di Melaka dan Labong di Johor berada pada tahap waspada, sembilan empangan pada tahap amaran, dan Empangan Sungai Pagar di Labuan pada tahap kritikal.
  • SPAN, PETRA dan pengendali bekalan air telah bermesyuarat untuk menyelaras langkah kesiapsiagaan seperti mengoptimumkan penggunaan air mentah dan memantau permintaan di kawasan berisiko.
  • Risiko gangguan bekalan air boleh berlaku jika paras empangan terus menurun, dengan kemungkinan pelaksanaan bekalan berjadual atau sekatan jika keadaan bertambah kritikal.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Paras air di 37 daripada 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada loji rawatan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan masih berada pada tahap normal ketika negara itu berdepan fenomena El Nino.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyatakan pada Jumaat (28 Ogos) bahawa dua empangan kini berada pada tahap waspada, sembilan pada tahap amaran manakala sebuah empangan berada pada tahap kritikal.

Dua empangan pada tahap waspada ialah Empangan Jus di Melaka dan Empangan Labong di Johor.

Empangan Sungai Pagar di Labuan pula berada pada tahap kritikal.

Sembilan empangan pada tahap amaran ialah Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah; Empangan Upper Layang, Lower Layang, Lebam, Gunung Pulai 1, Gunung Pulai 2 dan Pontian Kechil di Johor; serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.

Menurut SPAN, Empangan Timah Tasoh yang sebelum ini berada pada tahap kritikal kini menunjukkan peningkatan ke tahap amaran selepas menerima sedikit hujan dan pelaksanaan kerja mengepam air dari kolam ke empangan.

RISIKO GANGGUAN BEKALAN AIR

SPAN menyatakan semua loji rawatan air yang dipantau masih beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, risiko gangguan bekalan air boleh berlaku sekiranya paras empangan terus menunjukkan trend penurunan.

SPAN bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta pengendali bekalan air terlibat mengadakan mesyuarat pada Rabu (26 Ogos) bagi meneliti keadaan sumber air mentah dan menyelaraskan langkah kesiapsiagaan.

Antara langkah yang diberi perhatian ialah mengoptimumkan penggunaan sumber air mentah, menyelaraskan operasi empangan dan loji rawatan air, mengaktifkan sumber alternatif jika diperlukan serta memantau permintaan bekalan air di kawasan berisiko.

Bekalan air berjadual juga boleh dilaksanakan sekiranya keadaan sumber air mentah terus merosot.

Dalam keadaan lebih kritikal, sekatan atau pengurangan bekalan air kepada pengguna boleh dipertimbangkan sebagai langkah mengurus permintaan, tertakluk kepada keadaan semasa dan kelulusan menteri.

SPAN menegaskan langkah itu hanya akan dipertimbangkan sekiranya usaha mitigasi dan pengurusan sumber lain tidak lagi mencukupi.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita