'Ekstremis' vegan Perancis dihukum penjara serang penjual daging
Sebuah mahkamah di Perancis menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua aktivis vegan (orang yang tidak makan daging dan produk dihasilkan dari haiwan) pada Isnin (8 Apr) kerana beberapa serangan terhadap penjual daging, kedai dan restoran menjual daging.

Tunjuk perasaan menentang kekejaman terhadap haiwan (Gambar: AFP)
LILLE: Sebuah mahkamah di Perancis menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua aktivis vegan (orang yang tidak makan daging dan produk dihasilkan dari haiwan) pada Isnin (8 Apr) kerana beberapa serangan terhadap penjual daging, kedai dan restoran menjual daging.
Para peguam berkata serangan-serangan itu adalah yang pertama seumpamanya di negara itu.
Mahkamah di bandar utara Lille menjatuhkan ke atas kedua-duanya hukuman penjara masing-masing 10 dan enam bulan di atas serangan-serangan terhadap perniagaan di utara Perancis dari November 2018 hingga Februari 2019.
Pasangan itu, seorang pekerja khidmat belia 23 tahun bermama Cyrile dan seorang pekerja 29 tahun di sebuah tadika bernama Mathilde, didapati bersalah menyebabkan kerosakan setelah memecahkan tingkap-tingkap dan mencetuskan kebakaran di kedai-kedai menjual daging, ikan, serta restoran dan kedai lain di kawasan itu.
Mereka dijangka terlepas daripada menjalani tempoh penjara kerana undang-undang Perancis yang membenarkan hukuman penjara kurang dua tahun ditukar kepada khidmat kemasyarakatan.
"Kami perlu menjadikan ini sebagai iktibar supaya tindakan oleh kumpulan-kumpulan kecil dengan idea-idea ekstremis dan ganas dihentikan." kata ketua persekutuan penjual daging tempatan, Laurent Rigaud dalam satu kenyataan.
Para ekstremis itu menyertai gerakan yang menolak idea bahawa manusia menduduki tempat tertinggi dalam hierarki spesies dan memakan daging.
Dua lagi tertuduh termasuk seorang wanita yang didakwa bersubahat melakukan serangan dijatuhi hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan.
Mahkamah juga mengarahkan bayaran pampasan kepada para mangsa, yang mengalami kerugian perniagaan dianggarkan beberapa juta euro.
Semasa dibicarakan, Cyrile dan Mathilde, kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini mengaku terlibat memecahkan tingkap-tingkap atau menconteng slogan-slogan di kedai-kedai menjual daging.
Pada Jun lalu, para penjual daging Perancis menulis kepada kementerian ehwal dalam negeri meminta perlindungan ekoran beberapa perbuatan merosakkan harta benda di tempat-tempat perniagaan di merata negara, lazimnya disimbah darah palsu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.