Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Eksploitasi terhadap Orang Asli dikesan di Johor, kata Menteri Besar

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor mengesan tindakan eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli di negeri itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

Menurut Menteri Besarnya, Onn Hafiz Ghazi, antara eksplotasi terhadap Orang Asli yang dikesan ialah penerokaan tanah-tanah rizab Orang Asli secara tidak sah di Johor yang dibangunkan untuk tujuan komersil.

Menurutnya, Orang Asli turut digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, lapor Astro Awani.

Malah, tegasnya, terdapat juga Orang Asli digunakan untuk mengekstradisi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai.

"Kerajaan Negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kepada Orang Asli di Negeri Johor.

"Kerajaan Negeri ingatkan bahawa kita mempunyai undang-undang yang akan terus digunakan untuk melindungi mereka dan antara undang-undang yang digunapakai adalah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134, Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Rabu (5 Apr).

Mengulas lanjut, Encik Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah Tanah Kesultanan supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

Untuk pengetahuan semua, jelas beliau, mana-mana kawasan yang sudah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

"Tuanku adalah penjaga kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor dan Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

"Sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di Negeri Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor," ujarnya.

Sehubungan itu, Encik Onn Hafiz berharap tiada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli, lapor Astro Awani lagi.

"Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni Kerajaan Negeri ini.

"Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor," tegas Menteri Besar itu lagi.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan